suria

Sindiket Penipuan Antarabangsa Guna Facebook Tumpas

KUALA LUMPUR: Polis berjaya menumpaskan satu sindiket penipuan antarabangsa yang menggunakan laman sosial Facebook untuk memikat wanita dengan tertangkapnya tiga individu termasuk seorang wanita warga tempatan.

Timbalan Pengarah II, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Rodwan Mohd Yusof berkata ketiga-tiga mereka yang berumur antara 26 hingga 39 tahun yang dua daripada mereka adalah warga Nigeria, ditahan Isnin lepas dalam dua serbuan berasingan di Seri Kembangan dan Cheras.

Penipuan sindiket itu terbongkar setelah polis melancarkan siasatan ekoran laporan yang dibuat oleh seorang ahli perniagaan warga Taiwan berumur 43 tahun kepada Kedutaan Taiwan di sini Februari lepas bahawa dia ditipu hampir RM380,000 selepas berkenalan dan jatuh cinta dengan salah seorang anggota sindiket itu melalui Facebook.

Rodwan pada sidang media di sini, Khamis, memberitahu bahawa suspek menyamar sebagai seorang warga Britain dengan menggunakan nama John Miller ketika berkenalan dengan mangsa kira-kira tiga bulan lepas.

Suspek mendakwa menetap di United Kingdom dan memberitahu mangsa kononnya dia akan memberi hadiah bungkusan dengan kandungannya terdapat barangan yang berharga pound sterling 950,000 dan mangsa perlu mengambilnya di Malaysia.

"Mangsa tinggal di Taiwan... suspek mendakwa mangsa harus membayar sejumlah wang kerana ada sekatan untuk bungkusan tersebut sampai di Malaysia," katanya.

Mangsa yang terpedaya telah melakukan beberapa transaksi melalui perkhidmatan Western Union atas nama akaun suspek wanita tempatan tersebut sebanyak RM380,000 dan sehingga ke transaksi ketiga barulah mangsa mengesyaki dia ditipu oleh sindiket "African Scam".

Selepas menyedari ditipu, mangsa datang ke Malaysia dan membuat laporan di Kedutaan Taiwan di sini dan seterusnya pihak polis telah menjalankan risikan dan berjaya menahan kesemua mereka, kata Rodwan.

Pada serbuan di Seri Kembangan, antara yang dirampas ialah sejumlah barang kemas bernilai kira-kira RM100,000, pelbagai jenis peralatan komputer, pelbagai jenis dokumen dan buku cek, sejumlah kad ATM dan visa pelbagai jenama serta wang tunai AS$15,000 (RM45,464) dan RM14,260, katanya.

Beliau berkata polis juga percaya wang hasil penipuan telah digunakan untuk menjalankan perniagaan sewa kereta yang didaftarkan atas nama suspek wanita tempatan tersebut.

Terdapat empat buah kereta seperti Toyota Rush dan Honda Accord bernilai kira-kira RM400,000 dirampas dari sebuah premis perniagaan yang terletak berhampiran kediaman dua suspek yang merupakan suami isteri di Seri Kembangan.

Pasangan suami isteri itu mempunyai seorang anak lelaki berumur satu tahun setengah dan si suami menetap di sini menggunakan visa pelancong manakala isterinya adalah seorang ahli perniagaan.

Beliau berkata seorang lagi suspek yang ditahan di sebuah apartmen di Cheras adalah seorang pelajar kolej swasta.

Rodwan berkata sindiket itu dipercayai telah beroperasi sejak tiga atau empat bulan yang lepas.

"Kita akan menyiasat jika sindiket ini ada terlibat dengan kes-kes lain yang dilaporkan atau tidak dan kes ini adalah yang pertama dilaporkan untuk tahun ini," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan jika disabitkan boleh dikenakan hukuman penjara 10 tahun dan denda serta di bawah Seksyen 117 Kanun Keseksaan.

Kesemua suspek ditahan reman selama empat hari sehingga esok.

"Pada tahun lepas sebanyak 759 kes penipuan dengan anggaran kerugian kira-kira RM20.5 juta telah dilaporkan dan 130 individu telah didakwa.

"Untuk tahun ini sehingga bulan lepas pula sebanyak 245 dengan RM9.4 juta kerugian dianggarkan dan 48 individu didakwa," kata Rodwan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain