suria

ROS Mesti Bertindak Dengan Bukti - PAS

KUALA LUMPUR: Pendaftar Pertubuhan (ROS) diingatkan supaya tidak bersikap double standard dengan mengambil kesempatan ke atas masalah teknikal Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk mengharamkan parti itu.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menegaskan, ROS harus memperincikan segala masalah teknikal yang timbul dengan mengemukakan bukti kukuh sebelum membuat sebarang keputusan.

"Semua parti ada masalah teknikal tapi jangan jadikan ia sebagai alasan untuk mengharamkan PKR di saat kita mahu menghadapi pilihan raya umum. Perkara kecil seperti itu boleh diselesaikan," katanya pada sidang media di sini, Khamis.

PKR kini berhadapan dengan risiko dibatalkan pendaftarannya kerana didakwa melanggar peruntukan perlembagaan.

Terdahulu, Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali melalui laman Twitter menyebut, parti itu menerima sepucuk surat bertarikh 9 Mei berhubung pembatalan tersebut daripada ROS.

Bagaimanapun, bagaimanapun PKR mempunyai bukti kukuh bahawa parti itu tidak pernah melanggar peruntukan perlembagaan yang ditetapkan.

Dalam perkembangan lain, Slahuddin turut mempertahankan prinsip parti itu untuk tidak terlibat dengan pertuduhan qazaf terhadap pemimpin pembangkang yang didakwa perlaku dalam video seks yang didedahkan oleh trio Datuk T.

"Kita tidak mahu terlibat dalam pertuduhan tanpa bukti kukuh. Islam sangat menghormati maruah antara satu sama lain dan tuduhan tanpa ada saksi tidak dibenarkan," katanya.

Walaupun polis mengesahkan rakaman video seks itu tulen setelah mendapat khidmat pakar pengimejan video dari Amerika Syarikat (AS), Salahuddin berkata, identiti pelaku dalam klip video berkenaan tidak didedahkan sehingga hari ini.

"Saya percaya isu ini tidak akan selesai dalam tempoh terdekat. Tiada badan khas yang dipertanggungjawabkan untuk menyelesaikan kes ini. Biarlah mahkamah yang memutuskan tindakan selanjutnya," ujarnya.

Sementara itu, Salahuddin turut mengulangi pendirian PAS untuk meneruskan kerjasama dengan PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat

"Apapun yang terjadi, kita tetap setia dalam Pakatan Rakyat. Kerjasama di antara kami tetap akan utuh walaupun PAS menerima desakan daripada individu tertentu untuk meninggalkan parti pembangkang," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain