suria

Pembawa Tukul Pada Kes Anwar Dakwa Pesakit Mental

KUALA LUMPUR: Seorang pengawal keselamatan yang ditangkap kerana membawa tukul semasa menghadiri kes Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin lalu, mendakwa dirinya pesakit mental.

Hassan Ismail, 46, juga mendakwa pernah menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini.

'Pengakuan' lelaki yang berasal dari Setapak, dekat sini dibuat semasa dia dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Khamis, atas pertuduhan memiliki senjata berbahaya. Hassan didakwa memiliki tukul besi pada pukul 9.15 pagi, 16 Mei lalu yang diletakkan di pinggang bahagian depan sebelah kiri di kawasan letak motosikal, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta, di sini.

Dia juga didakwa atas pertuduhan kedua, iaitu memiliki pisau berukuran 7 inci pada masa dan hari yang sama yang diletakkan di tempat duduk motosikal Honda EX5 hitam kepunyaannya.

Tertuduh mengaku tidak bersalah dan memohon dirinya dibicarakan untuk kedua-dua pertuduhan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Rozana Husin mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, Hussin yang tidak diwakili peguam memberitahu, pisau tersebut sebenarnya digunakan untuk menanggalkan bendera Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada satu ceramah politik yang dihadirinya pada malam Ahad.

Majistret Abdullah Siddiq Mohd Nasir memerintahkan supaya tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia selama sebulan untuk mendapatkan pengesahan mengenai status penyakit mentalnya.

Beliau juga menetapkan agar kes tersebut disebut semula pada 20 Jun depan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain