suria

PAS Yakin Pertahan Kedah Pada PRU-13

BUKIT KAYU HITAM: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata beliau yakin parti itu akan terus menguasai Kedah pada pilihan raya umum akan datang kerana ia telah mentadbir negeri itu dengan cemerlang sejak pilihan raya yang lepas.

Katanya walaupun tidak sampai satu penggal memerintah, banyak perkara dilaksanakan oleh kepimpinan PAS di Kedah untuk rakyat seperti menurunkan kadar kemiskinan dan membayar hutang kerajaan pusat.

"Insya-Allah kita akan dapat mempertahankan Kedah dan harap tidak menjadi macam Terengganu pada 2004," katanya merujuk kepada pemerintahan PAS hanya untuk satu penggal di Terengganu sebelum Barisan Nasional memenangi semula negeri itu.

Abdul Hadi, yang ditemui semasa melawat ladang nanas milik anak syarikat kerajaan Kedah di sini, berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan PAS Kedah bahawa ia telah menunaikan 80 peratus daripada janji dalam manifesto parti itu pada pilihan raya umum yang lepas.

Beliau berkata kekalahan PAS di Terengganu pada 2004 adalah kerana Suruhanjaya Pilihan Raya memindahkan pengundi secara besar-besaran. Abdul Hadi juga mendakwa SPR melakukan pemindahan pengundi secara besar-besaran di Kedah dan Selangor untuk memenangkan BN di kedua-dua negeri itu menjelang pilihan raya umum ke-13 nanti.

Beliau berkata muktamar PAS ke-57 pada 3 hingga 5 Jun ini akan menyentuh persiapan parti itu menghadapi pilihan raya umum ke-13.

"Pemilihan pada muktamar kali ini akan dapat memperkemas dan membersihkan parti dan menguatkan jentera pilihan raya," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain