suria

Lelaki Warga Emas Maut Dalam Kebakaran

KOTA BAHARU: Tindakan seorang lelaki warga emas cuba memadamkan kebakaran kecil di dalam bilik tidurnya membawa malang apabila dia maut dipercayai akibat lemas dalam kepulan asap dalam kejadian di Jalan Raja Dewa, Telipot, dekat sini awal hari ini.

Omar Ismail, 78, yang uzur sempat mengejutkan dan membawa isterinya, Hasnah Mustafa, 70, keluar dari bilik itu sebaik menyedari kebakaran berlaku.

Hasnah ketika ditemui berkata dia tersedar mengenai kebakaran pada pukul 4.30 pagi selepas dikejutkan suaminya sebelum bergegas keluar menyelamatkan diri dari bilik berkenaan.

"Sebaik tersedar saya segera membuka pintu bilik dan mengejutkan anak dan cucu termasuk seorang pembantu rumah.

"Dalam kekalutan itu, saya kemudian terdengar suara suami saya menyebut 'Allah! Allah! dari arah bilik tidur kami yang terbakar, saya cuba menjenguk untuk mencari suami dan melihat bilik itu sudah dipenuhi asap tebal," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Hasnah berkata suaminya kemudian ditemui terbaring dalam bilik berkenaan dengan kesan melecur pada bahagian atas separuh badan.

"Saya tidak pasti apa punca kebakaran sama ada ubat nyamuk lingkaran atau litar pintas sebab dua hari sebelum itu lampu di dalam bilik tidak menyala.

"Saya juga sama sekali tidak menyangka dia (suami) yang uzur kerana menghidap angin ahmar masuk semula ke dalam bilik itu dan berusaha untuk memadam kebakaran yang akhirnya meragut nyawanya," katanya.

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Baharu Wan Hassan Wan Idris berkata pihaknya menerima panggilan pada pukul 4.45 pagi sebelum bergegas ke tempat kejadian dengan empat jentera dan 17 anggota.

"Sebaik kami tiba api telah dipadamkan dan kebakaran hanya melibatkan sebuah bilik tidur di bahagian atas rumah banglo itu. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat," katanya.

Omar adalah bekas Guru Besar dan Pengetua di beberapa buah sekolah di Kelantan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain