suria

Dr Mahathir Stabil, Perlu Banyak Rehat - Mukhriz

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad yang dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) di sini pagi Rabu kini berada dalam keadaan stabil dan dinasihatkan berehat supaya pulih sepenuhnya.

Anaknya, Datuk Mukhriz Mahathir berkata doktor menasihatkan bekas perdana menteri itu supaya berehat dengan secukupnya walaupun tidak mengalami sebarang masalah jantung yang serius.

"Tidak ada langsung masalah dengan jantung beliau. Cuma batuk, maksudnya paru-paru sikit... biasanya kalau dia batuk dia perlukan rehat secukupnya di IJN," kata Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu ketika ditemui di lobi IJN selepas melawat ayahnya pada Rabu.

Katanya lagi, ayah beliau kini perlu menjalani rawatan fisioterapi seperti biasa, mengambil ubat antibiotik.

"Susah nak nasihatkan dia... dulu dia dah masuk 'gear lima', dah lama ini nak masuk 'gear rendah' susah, tetapi apa pun dia sendiri pun tahu kesihatan dia," katanya.

Beliau berkata, aktiviti luaran Dr Mahathir juga dikurangkan untuk memberinya peluang berehat memandangkan keadaan kesihatannya sekarang ini.

"Emak saya kini berada di sisinya untuk menjaga beliau... kita juga tidak mengalakkan lawatan daripada kawan-kawan buat masa ini bagi mengelakkan daripada berlaku jangkitan," kata Mukhriz.

Dr Mahathir, 85, dimasukkan ke wad biasa pada kira-kira 6 pagi tadi selepas mengadu demam dan batuk sejak dua hari lalu.

Bagaimanapun, tinjauan Bernama tengah hari tadi mendapati kawalan rapi dijalankan di sekitar kawasan wad itu di mana hanya anggota keluarga terdekat sahaja dibenarkan masuk. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain