suria

Suruhanjaya Arah Nota Selamat Tinggal Teoh Dianalisis Semula

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Siasatan kematian Teoh Beng Hock hari ini memutuskan supaya nota 'selamat tinggal' Teoh, dianalisis semula di Jabatan Kimia bagi mengenal pasti beberapa perkataan yang dipadamkan.

Pengerusi Suruhanjaya Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen turut memutuskan supaya perkataan yang ditemui (sekiranya ada), diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia jika Teoh menulisnya dalam bahasa lain (selain bahasa Malaysia).

Katanya terjemahan itu akan dilakukan oleh dua jurubahasa mahkamah bertauliah dan nota itu akan dihantar secepat mungkin.

Foong membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), supaya perkataan di sebalik contengan dianalisis.

Muhammad Shafee membuat permohonan itu pada 11 Mei lepas dan prosiding tergempar hari ini dijalankan untuk mendengar permohonan itu secara terbuka.

Prosiding suruhanjaya selesai pada 10 Mei lepas setelah mendengar keterangan 70 saksi. Sementara itu, Muhammad Shafee berhujah bahawa analisis semula itu perlu dilakukan bagi menentukan keadaan minda Teoh sebelum mati dan apa perkataan yang telah dipadamkannya.

"Siapa jua yang memadamkan perkataan di bawahnya mestilah orang yang sama yang menulis nota itu. Perkataan yang dipadamkan akan membantu dalam membuat interpretasi. Saya meminta ahli kimia supaya memeriksa semula nota dan mendapatkan semula perkataan yang dibatalkan itu," katanya.

Nota 'selamat tinggal' yang dijumpai di dalam beg sandang Teoh telah dianalisis pertama kali di Jabatan Kimia ketika prosiding inkues di Mahkamah Koroner Shah Alam dan disahkan bahawa tulisan tangan pada nota itu milik Teoh.

Teoh, 30, setiausaha politik Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Selain Foong, suruhanjaya itu turut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T.S.Nathan, Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik serta Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Jan lepas, antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat 'keputusan terbuka'. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain