suria

SPAD Ingin Bantu Pengusaha Bas

PETALING JAYA: Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) akan menggunakan kuasanya untuk mengelakkan pengusaha perkhidmatan bas henti-henti dari gulung tikar.

"Kita tidak mahu mereka berhenti daripada beroperasi kerana perkhidmatan mereka adalah untuk kepentingan awam.

"Keseimbangan harus dicari dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka untuk memastikan rakyat tidak mengalami kesulitan," kata Pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Albar apabila dihubungi The Star pada Selasa.

Menurut beliau, SPAD sedang mengusahakan satu rangka tindakan untuk industri pengangkutan awam negara di mana pengusaha perkhidmatan bas henti-henti menjadi salah satu komponen di dalam rangka tindakan tersebut.

"Bagaimanapun isu yang dihadapai pengusaha bas perlu segera diatasi dan jika perlu kita akan membuat cadangan kepada kerajaan tentang langkah-langkah yang perlu dilaksanakan sebelum rangka tindakan tersebut disiapkan," kata beliau.

Beliau memberitahu satu mesyuarat antara pihak SPAD dan pengusaha-pengusaha bas akan diadakan pada 25 Mei ini.

Namun beliau sedar bahawa syarikat-syarikat bas berkenaan adalah syarikat swasta dan kelangsungan pendapatan syarikat adalah keutamaan mereka.

"Kita harus merangka satu model operasi terbaik di mana syarikat-syarikat ini boleh terus berupaya mengekalkan perniagaan mereka.

"Mereka juga tidak seharusnya menjadi satu bebanan kepada rakyat dan juga kerajaan," kata beliau.

Beliau berkata sedemikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan Persatuan Pengusaha Bas Semenanjung Malaysia yang mengatakan operasi perkhidmatan bas henti-henti mungkin terpaksa ditamatkan berikutan kos operasi yang semakin meningkat.

Persatuan itu mewakili 130 buah syarikat pengusaha bas dengan 3,200 buah bas yang beroperasi.

Para pengusaha bas terbabit sejak Disember lalu telah menyuarakan rasa kebimbangan mereka kerana harga bahan api, barang gantian dan buruh yang semakin tinggi.

Persatuan berkenaan telah menyerahkan sebuah memorandum kepada SPAD pada Februari, meminta kerajaan membeli kesemua aset mereka termasuk bas dan pekerja.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain