suria

PGPF Tiada Cadangan Hantar Kapal Lain Ganti MV Finch

KUALA LUMPUR: Yayasan Keamanan Global Perdana (PGPF) tidak merancang menghantar kapal lain untuk menggantikan kapal kargo MV Finch bagi meneruskan misi bantuan ke Gaza biarpun kapal itu diserang dan dipintas oleh tentera laut Israel semasa tiba di perairan Rafah, Mesir.

Penasihat PGPF Datuk Mukhriz Mahathir berkata bukan mudah untuk mendapatkan sebuah kapal kerana ia membabitkan kos yang tinggi.

"Setakat ini kita akan tumpukan kepada Spirit of Rachel Corrie atau nama asalnya MV Finch...Kita belum ada perancangan untuk hantar kapal lain," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan majlis pelancaran program "Latih Pengajar" anjuran Institut Automotif Malaysia dan Kagan Institute of Australia di sini, Rabu.

Beliau berkata berdasarkan laporan terkini yang diterimanya, kapal kargo MV Finch itu masih lagi berada di luar kawasan pelabuhan El-Arish, Mesir dan masih menunggu kelulusan daripada pihak berkuasa Mesir untuk berlabuh di pelabuhan itu.

Bagaimanapun, beliau berkata kesemua 12 penumpang serta krew itu berada dalam keadaan sihat dan selamat.

"Sekiranya diberi kelulusan daripada pihak Mesir untuk berlabuh di El-Arish maka mereka akan menghantar semua barang iaitu paip-paip PVC melalui sempadan di Rafah ke Gaza.

"Saya optimis kerajaan Mesir akan membenarkan dan setakat ini kita mendapat kerjasama yang baik daripada kerajaan Mesir," kata Mukhriz.

Pada Isnin lepas, kapal kargo MV Finch yang membawa muatan paip PVC sepanjang 7.5 kilometer untuk membantu memulihkan sistem pembetungan yang musnah di Gaza, diserang pada 6.54 pagi waktu Jordan (kira-kira pukul 11.54 pagi waktu Malaysia).

Semua penumpang tidak cedera meskipun tentera laut Israel melepaskan beberapa das tembakan ke arah kapal itu. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain