suria

Nasrudin Tantawi Sah Pertahankan Jawatan Pemuda PAS

KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hassan A Tantawi mengesahkan bahawa beliau akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti awal bulan depan.

Nasrudin yang dipilih sebagai Ketua Pemuda PAS pada pemilihan parti 2009 menambah, beliau mahu meneruskan beberapa agenda yang belum sempat dilaksanakan.

"Ya, saya akan mempertahankan jawatan (Ketua Pemuda PAS). Ramai calon lain berpotensi serta mempunyai kelayakan yang baik, namun saya serahkan kepada perwakilan untuk membuat keputusan," katanya ringkas ketika dihubungi BERNAMA.

Turut dicalonkan dan layak bertanding bagi jawatan ketua ialah timbalan Nasrudin sekarang iaitu Azman Shapawi Abd Rani, Ketua Penerangan Pemuda, Suhaizan Kaiat dan Pengarah Pilihan Raya Pemuda PAS, Mohd Firdaus Jaafar.

Bagaimanapun Azman ketika dihubungi berkata beliau hanya akan mempertahankan kerusi timbalan ketua Pemuda yang disandangnya sekarang sekiranya Nasrudin mengumumkan hasrat untuk mempertahankan jawatan Ketua Pemuda.

"Sekiranya Nasrudin ingin terus mempertahankan jawatan ketua Pemuda, saya juga akan hanya mempertahankan jawatan timbalan," katanya.

Seorang lagi calon, Mohd Firdaus pula berkata, beliau hanya akan bertanding jawatan timbalan ketua Pemuda PAS manakala Suhaizan pula berkata beliau masih belum membuat sebarang keputusan berhubung pencalonan itu.

Selain jawatan ketua, keempat-empat pemimpin itu turut dicalonkan bagi jawatan lain termasuk timbalan dan naib.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain