suria

Kompleks Pentadbiran Islam Akan Dibina Di Putrajaya

PUTRAJAYA: Sebuah kompleks pentadbiran Islam bernilai RM500 juta akan dibina di sini bagi menempatkan kesemua 13 agensi kerajaan berkaitan pentadbiran Islam di bawah satu bumbung.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, kini kedudukan agensi tersebut agak berselerak di beberapa tempat di Kuala Lumpur dan Putrajaya menyebabkan kemampuan untuk menggerakkan aktiviti secara bersama tidak dapat dilaksanakan.

"Ada sektor tertentu, bahagian dan sel yang akan kekal berada di tempat yang lama tapi ada sektor yang akan berpindah ke sini terutama kumpulan pentadbiran atasan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan khas bernilai RM1 juta kepada 26 badan bukan kerajaan (NGO) Islam di sini, Rabu.

Jamil Khir berkata, projek itu telah pun mendapatkan kelulusan Kabinet di mana kompleks yang terdiri daripada empat blok itu akan dibina dengan dana daripada Tabung Haji.

Sebuah kawasan berdekatan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Presint 3 di sini telah dibeli untuk tujuan pembinaan itu dan proses pembinaan akan dimulakan tahun ini, katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain