suria

Tindakan Pertikai Status Islam Perlu Ditangani Secara Tegas - Sultan Azlan Shah

IPOH: Sebarang pengucapan yang mahu mempertikaikan status agama Islam dan bidang kuasa Raja dalam hal ehwal Islam perlu ditangani secara tegas dan pantas, titah Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Baginda bertitah ini kerana kerukunan hubungan di kalangan rakyat pelbagai agama di negara ini boleh terjejas sekiranya status agama Islam dipertikaikan.

"Setiap warga wajib memahami secara jelas ketika mentafsir bukan sahaja apa yang tersurat malah lebih penting untuk mendalami falsafah yang tersirat dalam perkara berkaitan Islam seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan negara," titah baginda ketika merasmikan Muzakarah Ulama dan Cendekiawan Islam 2011 di sini, Isnin.

Baginda bertitah perkara yang sedia termaktub di dalam Perlembagaan negara tidak memberi makna jika tidak ada kata muafakat yang padu sesama umat Islam.

Jika umat Islam lebih cenderung bertelagah semasa sendiri serta mula memperlihatkan toleransi yang tidak bertempat, dibimbangkan martabat agama Islam di negara ini sedikit demi sedikit semakin terhakis, titah baginda.

Sultan Azlan Shah bertitah akibat daripada itu, umat Islam bakal terdedah kepada pelbagai diayah yang boleh menggelincirkan akidah dan dalam jangka masa panjang status agama Islam sebagai agama Persekutuan akan tinggal pada nama sahaja.

"Islam itu terlalu suci untuk boleh dijadikan instrumen bagi tujuan memenuhi matlamat duniawi yang sempit. Islam adalah teras pegangan agama di kalangan umat Melayu di bumi ini. Perkara tertentu di dalam Perlembagaan negara secara nyata memberi jaminan perlindungan kepada setiap anak yang dilahirkan dalam keluarga Islam," titah baginda.

Baginda bertitah umat Islam di negara ini wajib bersyukur atas rahmat yang dinikmati kerana di negara ini secara perundangan mereka diberikan jaminan perlindungan daripada sebarang pengaruh teologi atau aliran fahaman yang bercanggah dengan Islam.

Usaha menegakkan kalimah Allah s.w.t dan kesucian ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w tidak boleh dikorbankan dalam apa jua hasrat untuk mencari pengaruh keduniaan, titah baginda.

Baginda bertitah oleh kerana itu ketika gelombang memperjuangkan kemerdekaan tanah air, para ulama telah menyampaikan pandangan tepat serta pendirian tegas kepada Raja-Raja Melayu begitu juga kepada pimpinan badan politik mengenai kepentingan dimaktubkan definisi yang jelas mengenai status Islam dan perlindungan terhadap umat Islam apabila negara mencapai kemerdekaan. "Demi memastikan kesucian Islam tidak akan dinodai dan kemurnian Islam tidak sama sekali dikompromikan oleh matlamat politik kepartian dan matlamat duniawi, Islam diangkat berada di atas politik kepartian dan diletakkan terus di bawah bidang kuasa Raja Pemerintah," titah baginda.

Sultan Azlan Shah bertitah ketika umat Melayu masa kini kelihatan semakin hanyut dalam arus impian duniawi dan taksub dalam ideologi politik kepartian, Islam yang berada di atas politik kepartian adalah sebaik-baik platform penyatuan untuk membolehkan umat Melayu kembali bertemu dalam suasana muzakarah yang rasional serta mencari kebenaran hakiki.

"Tidak ada bumi yang tidak pernah ditimpa hujan, oleh itu umat yang berjiwa tinggi bersedia menerima hakikat bahawa tidak ada pihak yang tidak pernah melakukan kekhilafan, umat yang bijak akal bicaranya akan bersedia melakukan pembetulan daripada kekhilafan yang pernah dilakukan, baliklah ke pangkal jalan bila sesat di hujung jalan," titah baginda.

Baginda bertitah umat Islam akan bertambah padu dan semakin dihormati jika semangat bermuzakarah dapat diamalkan dan dijadikan forum untuk mengatasi sebagai perselisihan dan kelainan pandangan.

Pada majlis itu, baginda turut melancarkan buku karya Dr Muhammad Afifi al-Akiti yang bertajuk "Sampaikah Amalan Orang Hidup kepada Arwah". Dr Muhammad Afifi merupakan anak kelahiran Batu Gajah dekat sini adalah felo pensyarah di Pusat Pengajian Islam Oxford.

Pada tahun 2010, Dr Muhammad Afifi yang juga merupakan anak Melayu pertama yang berjaya menjadi antara tenaga pensyarah di universiti berprestij di dunia itu turut dilantik sebagai anggota Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak dengan perkenan Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain