suria

Rasuah Polis: Warga Emas Dihukum Penjara Sehari

MELAKA: Seorang lelaki warga emas dihukum penjara sehari dan didenda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana memberi rasuah kepada seorang anggota polis bagi mengelakkan dia ditangkap kerana terlibat dengan kegiatan loteri haram.

Lim Hoak Chee, 60, mengaku salah memberi suapan RM5,000 kepada Sarjan Wong Soon Meng di sebuah kedai makan di Masjid Tanah dekat sini, pada 7.15 malam, 19 Mei tahun lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24 akta sama, yang membawa hukuman penjara tidak lebih daripada 20 tahun dan denda tidak kurang RM10,000 atau lima kali ganda jumlah suapan atau mana yang lebih tinggi.

Hakim Ahmad Sazali Omar berkata hukuman itu mengambil kira usia tertuduh dan diharap menjadi pengajaran kepadanya agar tidak mengulangi perbuatan tersebut.

Lim diwakili peguam Tiu Leong Kim manakala pendakwaan dijalankan oleh pegawai pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) Melaka Mohd Saad Shukor. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain