suria

Polis Tahan Pemandu Van Disyaki Pengedar Dadah

KLANG: Polis menahan seorang pemandu van kanak-kanak tadika dan merampas 110 paket dadah disyaki heroin, di Jalan Kastam, Pelabuhan Klang di sini, Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Mohamad Mat Yusop berkata lelaki berumur 28 tahun itu ditahan semasa sedang menunggu kanak-kanak pulang dari tadika pada kira-kira pukul 12 tengah hari.

Beliau berkata dadah seberat kira-kira 172.2 gram itu ditemui di bahagian tempat letak kaki pemandu, dan polis percaya lelaki berkenaan berselindung di sebalik pekerjaan sebagai pemandu van untuk mengedar dadah di pasaran tempatan.

"Harga satu paket kecil dadah itu di pasaran ialah kira-kira RM80 dan nilai kesemua dadah yang dirampas kira-kira RM12,000. Suspek yang bergerak secara bersendirian dipercayai mendapat bekalan dadah daripada negara luar," katanya dalam satu persidangan media di sini, Isnin.

Beliau berkata ujian air kencing menunjukkan bahawa suspek yang juga anggota RELA itu positif dadah, dan dia kini ditahan reman sehingga 19 Mei ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati mandatori jika disabit kesalahan.

Terdahulu pada hari Rabu, polis menahan empat lelaki serta dua wanita yang berumur antara 31 dan 41 tahun, dan merampas ketulan-ketulan dadah disyaki ganja seberat 3.4kg bernilai kira-kira RM12,000, dalam satu serbuan di sebuah rumah sewa di Taman Selatan di sini, kira-kira pukul 10 pagi.

"Seorang suspek wanita bekerja sebagai tukang urut, manakala seorang lagi adalah warga Indonesia yang juga isteri kepada salah seorang suspek. Serbuan dibuat selepas polis membuat intipan kira-kira seminggu lamanya," katanya.

Mohamad berkata ujian air kencing menunjukkan lima suspek positif dadah, kecuali wanita Indonesia itu.

Beliau berkata siasatan beberapa suspek bekerja sebagai peniaga mainan kanak-kanak di pasar malam, dan mereka dipercayai menjalankan kegiatan mengedar dadah sejak kira-kira tiga bulan lalu.

Mohamad berkata kesemua suspek kini direman sehingga 18 Mei ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Beliau berkata kedua-dua serbuan itu adalah hasil kejayaan Ops Tapis yang dijalankan pihaknya di sini sejak minggu lepas. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain