suria

Nilai Subsidi Dijangka Meningkat Kepada RM20.68 Bilion

PUTRAJAYA: Kerajaan menjangka nilai subsidi pada tahun ini meningkat kepada RM20.58 bilion berbanding RM10.32 bilion pada tahun lalu berikutan kenaikan harga minyak dunia sehingga kini.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM18 bilion adalah nilai subsidi bagi produk petroleum sahaja, iaitu RON 95, diesel dan gas masak LPG. "Walaupun begitu, dari semasa ke semasa, di mana yang difikir wajar untuk dibantu, maka sektor berkenaan akan dibantu terutama daripada segi bahan keperluan pengguna seperti gas masak LPG, kerana ia digunakan secara meluas.

"Tetapi kita tidak boleh mengekalkan kadar subsidi. Ada peringkat tertentu yang difikir wajar, kadar itu akan dikurangkan.

"Maknanya secara keseluruhannya, walaupun subsidi perlu, tetapi hanya untuk sektor yang utama sahaja dan dasar telah dikuatkuasakan untuk mengurangkan subsidi secara berperingkat mengikut sektor tertentu," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Bekalan dan Harga Yang Pertama, di sini, Isnin.

Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Muhyiddin berkata kerajaan tidak boleh memberi jaminan bahawa tidak akan berlaku kenaikan harga barangan.

"Sebahagian daripada barangan tetap dikawal, tetapi yang mana kerajaan boleh mengurangkan dari segi soal beban kos, ini yang dipertanggungjawab kepada jawatankuasa untuk meneliti," katanya.

Beliau juga berkata mesyuarat hari ini tidak membincangkan mengenai harga minyakpetrol RON 95.

Sementara itu, kata beliau, antara perkara utama yang diputuskan dalam mesyuarat hari ini ialah kementerian dan agensi yang terlibat akan mengkaji dasar yang sedia ada dalam menentukan kestabilan bekalan dan harga barangan dalam negara.

Muhyiddin berkata penyelesaian membabitkan isu masalah bekalan dan harga barangan akan dibuat secara menyeluruh, merentasi peranan dan bidang kuasa kementerian dan agensi bagi memastikan setiap strategi yang digariskan untuk menangani isu tersebut dilaksanakan dengan berkesan.

Beliau berkata dari segi penguatkuasaan undang-undang, apabila undang-undang persaingan mula dikuatkuasakan pada Januari tahun depan, diharap suruhanjaya yang bakal ditubuhkan dapat berperanan untuk memantau dan bertindak jika terdapat aduan atau wujud ketidakdilan dalam amalan perniagaan.

"Kita yakin ini akan membawa kesan dari segi menentukan pasaran yang lebih adil dan saksama untuk pengguna," katanya.

Beliau berkata mesyuarat turut memutuskan supaya Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengambil langkah berdasarkan strategi yang telah disusun bagi memastikan pengeluaran bahan-bahan keperluan negara dapat ditambah dalam kadar yang lebih pesat.

Katanya langkah itu akan melibatkan peranan kerajaan untuk membantu petani serta pengeluar dan sumbangan sektor swasta untuk membangunkan pengeluaran dalam sektor pertanian. "Langkah itu membabitkan strategi yang boleh diambil untuk meningkatkan pengeluaran seperti bahan makanan, sayuran, ternakan, ayam, kambing, daging, bekalan makanan seperti ikan, industri akuakultur dan sebagainya," katanya.

Muhyiddin berkata bagi strategi untuk jangka panjang bagi menentukan supaya negara mempunyai bekalan bahan makanan yang lebih daripada sedia ada, ia akan dibincang secara teliti pada mesyuarat akan datang. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain