suria

Liwat II: Anwar Diarah Bela Diri

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim diarahkan untuk membela diri atas pertuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang didakwa berlaku tiga tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah membuat keputusan tersebut pada Isnin, selepas berpuas hati bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan prima facie terhadap pertuduhan untuk dijawab oleh Anwar.

Pada penghakiman yang mengambil masa selama hampir dua jam untuk dibacakan, Mohamad Zabidin berkata, beliau mendapati Mohd Saiful yang merupakan saksi utama dan saksi pertama (SP1) kes telah berkata benar mengenai kejadian liwat itu.

“Bukan sesuatu yang mengejutkan apabila pihak pembelaan cuba untuk mengatakan bahawa SP1 tidak mempunyai kredibiliti dan dikatakan bukan seorang Muslim yang baik serta datang dari keluarga yang berpecah belah dan seorang pengkhianat.

“Bagaimanapun, saya berpendapat semua dakwaan tersebut sebagai tidak relevan dan tidak mempunyai merit dalam memutuskan kredibiliti SP1,” katanya.

Beliau juga menolak hujahan barisan pembelaan Anwar yang mengatakan bahawa kelakuan Mohd Saiful yang tidak meminta bantuan sedangkan boleh berbuat demikian dan menghadiri majlis Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada keesokan hari selepas kejadian menunjukkan kejadian liwat tidak berlaku.

“Berdasarkan kepada fakta dalam perbicaraan, tidak sukar untuk memahami mengapa SP1 bertindak demikian walaupun tidak rela diliwat.

“SP1 adalah seorang anak muda yang bekerja dengan tertuduh, iaitu idolanya sejak kecil dan tertuduh memberikan layanan istimewa kepadanya,” katanya.

Selain itu, Mohamad Zabidin berkata, keterangan Mohd Saiful yang terperinci mengenai apa yang berlaku di antara dia dan Anwar pada hari kejadian turut disokong oleh saksi pakar yang mengesahkan berlaku penetrasi di bahagian dubur SP1.

“Berdasarkan sampel yang diperoleh dari bahagian rektrum Mohd Saiful, berlaku penetrasi zakar yang meninggalkan air mani di bahagian terbabit,” katanya.

Beliau juga menolak kemungkinan sampel tersebut tercemar kerana berdasarkan keterangan, sampel tersebut telah dimaterai secepat mungkin selepas ia diambil.

Pada penghakimannya, Mohamad Zabidin juga berpendapat, bukti sokongan seperti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menyokong kehadiran SP1 di unit kondominium tersebut pada hari kejadian dengan menaiki sebuah kenderaan yang didaftarkan di atas nama bapa tunang SP1 pada waktu itu.

Sehubungan itu, Mohamad Zabidin memutuskan bahawa Anwar dan Mohd Saiful berada di unit kondominium tersebut pada masa kejadian liwat itu didakwa berlaku.

"Atas alasan di atas, saya dapati pihak pendakwaan telah berjaya untuk membuktikan elemen seperti pertuduhan.

“Oleh itu, tertuduh diarahkan untuk membela diri atas pertuduhan yang dihadapi,” katanya.

Beliau seterusnya menetapkan 6 hingga 30 Jun depan untuk Anwar yang memilih untuk membela diri menerusi keterangan bersumpah berbuat demikian selaku saksi pembelaan pertama.

Anwar kelihatan tenang semasa mendengar keputusan tersebut dan sesekali dilihat memandang ke arah isterinya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail yang duduk bersama anak sulung mereka, Nurul Izzah di galeri awam.

Anwar, 63, dibicarakan atas tuduhan meliwat Mohd Saiful, 25, antara pukul 3.01 dan 4.30 petang, 26 Jun 2008 di unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, dekat sini.

Jika sabit kesalahan, Anwar boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan disebat, seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan.

Turut berada di mahkamah sebagai tanda sokongan ialah beberapa pemimpin Pakatan Rakyat iaitu Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar; Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin dan isteri serta Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin.

Juga berada di mahkamah ialah Tian Chua (Ahli Parlimen Batu) dan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu Nik Nazmi Nik Ahmad (Seri Setia) M. Manoharan (Kota Alam Shah), Dr Xavier Jayakumar (Seri Andalas) dan Ronnie Liu (Pandamaran).

Pada prosiding itu, Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abidin mengetuai barisan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nordin Hassan, Mohd Hanafiah Zakaria, CK Wong dan Noorin Badaruddin.

Barisan pembelaan pula diketuai oleh peguam Karpal Singh dan peguam-peguam Sankara Nair, Param Cumaraswamy, CV Prabhakaran, Marissa Christopher Fernando dan Ram Karpal Singh.

Artikel Sebelum

Artikel Lain