suria

Kerajaan Wujudkan Jawatankuasa Penasihat Untuk Bantu Rukun Tetangga

BALIK PULAU: Kerajaan akan mewujudkan Jawatankuasa Penasihat dan Penyelaras Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Parlimen yang berperanan memberi nasihat dan menyelaraskan aktiviti KRT.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata penubuhan jawatankuasa itu yang akan bermula di Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan, diyakini mampu membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi KRT di kawasan Parlimen terbabit.

"Ia boleh membantu mengurangkan beban jawatankuasa KRT daerah yang mana beberapa bidang kuasa boleh diserahkan kepada Jawatankuasa Penasihat dan Penyelaras KRT Parlimen, dalam usaha memperkukuhkan keberkesanan Rukun Tetangga (RT)," katanya kepada pemberita, di sini, Ahad.

Beliau yang ditemui selepas melancarkan Minggu Perpaduan peringkat negeri, berkata sejak diperkenalkan pada 1975, sebanyak 5,000 RT sudah diwujudkan di seluruh negara.

"Sebanyak 190,000 program RT dijalankan sepanjang tahun lepas dan ia berjaya menarik penyertaan lebih enam juta rakyat," katanya.

Koh berkata penyertaan yang tinggi dalam program RT itu membuktikan kerja sukarela masih mendapat sambutan, malah sejak tiga tahun lalu purata 500 KRT baru ditubuhkan setiap tahun.

Selain itu, Koh yang juga Presiden parti Gerakan berkata kerajaan akan melatih lebih ramai pengantara masyarakat tahun ini bagi membantu menyelesaikan masalah pada kalangan komuniti.

"Dengan lebih kurang 5,000 KRT di seluruh negara, saya berharap dapat melatih dan menempatkan sekurang-kurangnya satu pengantara masyarakat di setiap KRT," katanya.

Beliau berkata buat masa sekarang terdapat 400 pengantara masyarakat di seluruh negara yang menumpukan perhatian di 50 kawasan panas yang mempunyai masalah etnik, jenayah atau sosial. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain