suria

Keluarga Mangsa Yang Ditembak Polis Mahu Suruhanjaya Bebas Ditubuhkan

PETALING: Keluarga Mohamad Johari Abu Bakar, yang ditembak polis kerana disyaki terlibat dalam kes geng samun kenderaan mewah di sebuah hotel bajet di Cyber Valley, Dengkil, Selangor pada Jumaat lepas, mahu kerajaan menubuhkan sebuah suruhanjaya bebas bagi menyiasat kes tersebut.

Ibu mangsa Salmah Mohamed Shariff, 41, mendakwa anaknya yang hanya berumur 17 tahun dan bukan 20-an seperti dilaporkan oleh media, tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

Beliau dalam dalam laporan polis yang dibuatnya di Balai Polis Damansara di sini hari ini turut memohon supaya bedah siasat kali kedua diadakan bagi memastikan kecederaan sebenar yang dialami oleh anak ketiga daripada tujuh beradik itu.

"Apabila saya melihat mayat anak saya pada Sabtu, selepas bedah siasat dengan jelas lengan kanan anak saya patah. Bagaimana boleh patah, sebelum atau selepas ditembak.

"Ini semua menimbulkan persoalan tentang apa yang berlaku," katanya kepada pemberita di balai polis itu.

Mohamad Johari dilaporkan tidak lagi bersekolah sejak kematian bapanya pada 2009.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Mohd Adnan Abdullah ketika dihubungi Bernama berkata kes tersebut masih dalam peringkat siasatan.

"Ia disiasat dari segi fakta dan bukannya atas dakwaan. Dan ketika kejadian, suspek berseorangan di dalam kereta dan cuba melarikan diri ketika dikepung dan merempuh kereta polis, selain telah melepaskan tembakan," katanya.

Mengenai dakwaan ibu mangsa yang lengan tangan kanan mangsa patah, beliau berkata polis masih menanti laporan bedah siasat bagi mengetahui kecederaan yang dialami suspek.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian itu, Mohamad Johari yang dipercayai terlibat dengan geng samun kenderaan mewah mati ditembak dalam kejadian berbalas tembakan dengan sepasukan anggota polis berhampiran sebuah hotel bajet di Cyber Valley, Dengkil.

Dilaporkan sebelum ini, dia baru sahaja keluar dari hotel sebelum memasuki sebuah MPV yang diletakkan di belakang hotel tersebut. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain