suria

Dua Lelaki Ditahan Tidak Sampai 24 Jam Selepas Menyamun

KAJANG: Polis menahan dua lelaki yang disyaki terbabit dalam kejadian samun di sebuah rumah di Desa Kiambang, Sungai Chua di sini, tidak sampai 24 jam selepas kejadian, Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Ab Rashid Ab Wahab berkata suspek yang masing-masing berumur 36 dan 46 tahun itu ditahan di kawasan Food Court Taman Jasmin, Nilai kira-kira pukul 7 petang.

Menurutnya polis menahan kedua-dua suspek berdasarkan maklumat penghuni rumah yang disamun, yang merupakan seorang warga emas berumur 72 tahun, dan kedua-dua suspek ditahan ketika menaiki sebuah kereta Honda CRV dipercayai kereta curi yang ditukar nombor pendaftarannya.

"Polis turut merampas sebilah parang dan pisau yang ditemui dalam kereta itu," katanya kepada pemberita selepas majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Kajang di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di sini, Isnin.

Merujuk kepada kejadian samun itu, Ab Rashid berkata kejadian berlaku semasa warga emas berkenaan sedang membuka pintu pagar rumahnya apabila tiba-tiba dia didatang dua suspek menaiki motosikal, dan seorang daripada suspek terus mengacu gunting kearahnya.

Beliau berkata berkata suspek kemudiannya merampas jam tangan, wang, serta kereta, dan menurutnya siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mempunyai dua jenayah rekod lampau yang membabitkan kes samun dan dadah.

Katanya mereka kini ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan bagi rompakan berkumpulan dan rompakan dengan bersenjata.

Sementara itu pada majlis hari ini, Ab Rashid yang dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Kajang yang baru menerima dokumen serah terima tugas jawatan itu daripada timbalannya Supt Azman Ayob, yang sebelum ini memangku jawatan Ketua Polis Daerah Kajang.

Ab Rashid, 51, yang berkhidmat dalam pasukan polis selama 32 tahun, sebelum ini menjawat jawatan sebagai Ketua Bahagian Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontijen Melaka selama dua tahun. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain