suria

Belia Dan Kerajaan Adalah Rakan Kongsi Dalam Pembinaan Negara - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Kerajaan dan belia adalah rakan kongsi dalam pembinaan negara dan untuk itu kerajaan akan mengamalkan pendekatan secara konstruktif dalam hubungannya dengan belia, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata pendekataan konstruktif itu adalah melalui cara dengan sentiasa mendekati dan mendengar pandangan para belia untuk mendapat idea baru dan bernas yang boleh dimanfaatkan untuk kebaikan negara.

"Golongan belia dan kerajaan bagai aur dengan tebing, bagai isi dengan kuku, bersama-sama berganding bahu, bantu membantu untuk mara ke hadapan sebagai satu pasukan, membawa negara kita ke era yang lebih gemilang," katanya semasa melancarkan sambutan Hari Belia Negara peringkat kebangsaan 2011 di sini malam Ahad.

Beliau berkata kerajaan berharap golongan belia juga sentiasa bersedia untuk memberikan pandangan-pandangan yang konstruktif kepada kerajaan supaya dapat bersama-sama menyumbang kepada pembangunan negara.

Muhyiddin berkata walaupun golongan belia biasanya mempunyai pandangan yang agak kritis dalam membicarakan isu-isu semasa, tetapi jika ianya diajukan secara konstruktif maka kerajaan dapat melihat sesuatu isu daripada perspektif yang berbeza, dan mungkin lebih baik daripada pandangan yang biasa kerajaan dengar.

Oleh itu, jika golongan belia dan kerajaan dapat bersama-sama berganding bahu, kerajaan akan dapat menyelesaikan banyak permasalahan yang dihadapi oleh golongan belia, dan selanjutnya memanfaatkan potensi yang ada pada golongan belia untuk disumbangkan kepada negara, katanya.

Muhyiddin berkata golongan belia berada pada kedudukan yang amat penting dan strategik dalam menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negara dan kepentingan golongan ini bukan semata-mata kerana jumlahnya yang ramai, iaitu lebih satu pertiga daripada jumlah keseluruhan rakyat Malaysia, tetapi kerana kualiti yang dimiliki oleh para belia.

Belia yang berfikiran kreatif adalah aset utama negara kerana untuk membolehkan Malaysia muncul sebagai sebuah negara maju, terutamanya dalam persekitaran ekonomi berasaskan pengetahuan, negara amat bergantung kepada daya kreativiti dan inovasi rakyat, katanya.

"Golongan belia juga mempunyai idealisme yang tinggi. Bukanlah sesuatu yang janggal untuk kita melihat golongan belia mengutarakan pandangan dan perspektif yang tersendiri mengenai isu-isu sosial, politik, ekonomi dan kenegaraan yang kesemuanya amat penting dalam usaha kita untuk membina sebuah masyarakat yang maju, adil dan sejahtera," kata Timbalan Perdana Menteri.

Pelancaran sambutan Hari Belia Negara 2011 bertemakan "Belia Pemangkin Transformasi" diadakan di kawasan terbuka di Jalan Bukit Bintang yang dihadiri kira-kira 3,000 orang yang kebanyakannya terdiri daripada golongan belia dan juga pelancong.

Sambutan Hari Belia Negara merupakan suatu pengiktirafan tertinggi kerajaan terhadap sumbangan golongan muda kepada pembangunan negara.

Apabila ditanya oleh pengacara majlis apakah hasrat hari jadi beliau, Muhyiddin berkata: "Supaya negara kita kekal selamat, rakyat bersatu padu" dengan senyuman dan diikuti dengan nyanyian Selamat Hari Jadi oleh para hadirin.

Pada majlis tersebut, perutusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sempena Hari Belia turut disiarkan di skrin besar di pentas.

Majlis turut diserikan dengan pelbagai persembahan muzik dan nyanyian oleh para belia pelbagai kaum. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain