suria

Bekas Ahli Parlimen DAP Bukit Mertajam & Batu Gajah Meninggal Dunia

PETALING JAYA: Bekas Naib Pengerusi DAP Kebangsaan dan bekas Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Pulau Pinang serta Batu Gajah, Perak, Datuk Chian Heng Kai, meninggal dunia, pada hari Isnin di Muar. Mendiang untuk sekian lamanya bertarung dengan penyakit kanser hati. Chian menyertai DAP pada tahun 1967, setahun selepas parti itu secara rasminya didaftarkan.

Beliau telah berkhidmat sebagai penterjemah di Ibu Pejabat DAP pada tahun 1968 dan kemudian berkhidmat pula dengan organ parti itu, The Rocket.

Sepanjang perkhidmatannya selama 27 tahun dalam dunia politik sehinggalah bersara pada tahun 1998, mendiang telah menyandang beberapa jawatan penting dalam DAP antaranya, naib pengerusi kebangsaan, setiausaha kerja kebangsaan, setiausaha publisiti kebangsaan dan pengerusi jawatankuasa disiplin DAP.

Pada tahun 1974, mendiang telah terpilih sebagai ahli parlimen Batu Gajah. Bagaimanapun dua tahun kemudian, iaitu pada 3 November 1976, Chian telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Beliau menghabiskan masa selama empat tahun sembilan bulan di Kamunting.

Ketika di dalam tahanan, Datuk Chian turut bertanding dalam pilihan raya umum 1978 untuk mempertahankan kerusi parlimen Batu Gajah yang dimenanginya sebelum ini.

Kemudian pada pilihan raya umum 1986 dan 1990, beliau telah bertanding di kerusi Parlimen Bukit Mertajam dan memenanginya. Mendiang telah menerima darjah kebesaran negeri DSPN daripada Yang Di Pertua Negeri Pulau Pinang pada Julai 2008 yang membawa gelaran “Datuk”. Beliau adalah veteran DAP yang pertama untuk menerima penghormatan tersebut.

Mendiang meninggalkan isteri, Tan Chui Swee yang juga merupakan seorang aktivis DAP dan tiga orang anak.

Artikel Sebelum

Artikel Lain