suria

Tiga Beranak Suspek Kes Culik Kini Disiasat Kerana Membunuh

ALOR SETAR: Tiga beranak yang sebelum ini ditahan bagi membantu siasatan kes culik seorang pekerja Kompleks Hijau Kuning di sini, kini disiasat bagi kes bunuh selepas mayat lelaki itu ditemui Sabtu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar Supritendan Baharom Abu berkata dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 27 dan 54 tahun itu ditahan pada Jumaat dan direman bagi siasatan kes culik.

Namun penemuan mayat yang dipercayai mangsa kes culik terbabit menyebabkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, katanya kepada pemberita, di sini Ahad.

Beliau berkata polis menerima laporan mengenai kehilangan Low Choon Aik, 26, pada 9 Mei, dan ketiga-tiga suspek ditangkap pada 13 Mei.

Pada Sabtu, mayat Low ditemui terapung di Sungai Mati, Jalan Kilang Tebu berhampiran Kampung Batin dekat sini, dalam keadaan kedua-dua kakinya terikat manakala leher pula diikat bersama batu.

Berdasarkan siasatan awal polis percaya dia dibunuh dan dibuang ke sungai itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain