suria

Kabinet Baru Singapura Mungkin Diumumkan Minggu Ini

SINGAPURA: Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong berkata beliau berkemungkinan mengumumkan senarai Kabinet baru awal minggu ini.

Bagaimanapun, beliau belum memutuskan sama ada akan menerima keputusan Menteri Mentor Lee Kuan Yew dan Menteri Kanan Goh Chok Tong untuk berundur daripada Kabinet, seperti yang mereka umumkan pada Sabtu.

Kabinet baru itu dianggap oleh pemerhati politik sebagai amat menarik memandangkan ia akan menyaksikan banyak muka baru daripada kalangan generasi muda.

Susulan pilihan raya umum baru-baru ini, beberapa menteri kanan termasuk Menteri Luar George Yeo, yang kalah dalam Perwakilan Kumpulan Kawasan Pilihan Raya, turut mengumumkan persaraan mereka daripada politik.

Parti pemerintah, Parti Tindakan Rakyat, yang berkuasa sejak Singapura menjadi negara pemerintahan sendiri pada 1959, telah memperkenalkan ramai calon baru pada pilihan raya 7 Mei lepas.

Langkah memperkenalkan golongan muda itu adalah kitaran generasi yang sebelum ini pernah disebut oleh pemimpin parti sebagai lebih signifikan daripada biasa tahun ini memandangkan barisan baru itu berkemungkinan turut mengandungi bakal Perdana Menteri seterusnya.

Hsien Loong, bagaimanapun menyifatkan keputusan kedua-dua tokoh ulung seperti Kuan Yew dan Goh untuk bersara daripada kerajaan sebagai satu peristiwa besar bagi Singapura.

"Ini menunjukkan bahawa mereka memikirkan tentang Singapura dan masa depan Singapura," katanya kepada pemberita selepas sambutan kemenangan pasca pilihan raya semalam.

Beliau berkata langkah itu dimulakan oleh kedua-dua pemimpin berkenaan, bagaimanapun beliau telah pun mengetahui tentang hasrat mereka.

Kuan Yew semalam mengumumkan persaraannya daripada Kabinet selepas 52 tahun, sejak menjawat jawatan Perdana Menteri pada 1959, manakala penggantinya, SM Goh, menyandang pelbagai portfolio dalam Kabinet sejak 1979. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain