suria

Golongan Belia Amat Penting Kepada Hala Tuju Dan Masa Depan Negara, Kata Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata golongan belia sebagai kumpulan demografi terbesar rakyat Malaysia amat penting kepada hala tuju dan masa depan negara.

Perdana Menteri berkata kejayaan wawasan dan kesemua prakarsa nasional -- Program Transformasi Ekonomi (ETP), Program Transformasi Kerajaan (GTP), serta Model Baru Ekonomi (NEM), bersama dengan Rancangan Malaysia ke-10 yang menjadi asas lonjakan negara bagi pusingan terakhir ke arah Wawasan 2020, memerlukan sumbangan pro-aktif golongan belia.

Menurutnya dalam konteks ini golongan belia yang seharusnya menjadi penggerak yang memacu negara ke tahap yang negara impikan.

"Golongan belia mencerminkan harapan masa hadapan negara, saudara saudari semua adalah penting untuk masa depan negara – "the best hope for the nation’s future.

"Tampil ke hadapan mengambil tampuk utama transformasi Negara. Jadikanlah usia muda ini sebagai landasan ke masa hadapan yang diingini, yang diimpikan," katanya dalam perutusan sempena Hari Belia Negara 2011, dalam blog 1Malaysianya, Sabtu.

Hari Belia Negara 2011 yang bertemakan "Belia Pemangkin Transformasi", disambut Ahad.

Najib yang turut mengucapkan selamat menyambut Hari Belia kepada seluruh warga belia Malaysia berkata hari ini negara sedang menangani cabaran yang monumental, iaitu cabaran untuk merealisasikan wawasan kebangsaan bagi menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Katanya Malaysia memiliki tradisi unik bersikap pragmatik dan bukan dogmatik, mengambil jalan yang perlu sama ada ia senang mahupun sukar bagi memetakan laluan nasional yang bersifat transformatif.

Perdana Menteri berkata semangat dan azam yang membara di kalangan anak muda, seharusnya disalurkan ke arah aktiviti-aktiviti bermanfaat yang dapat membangunkan diri dan mengambil peluang sosioekonomi yang kian bertambah.

"Semangat kesukarelawan juga harus dinyalakan kembali, dipacu oleh daya tenaga serta idealisme golongan belia. Taburlah khidmat bakti dengan penuh keikhlasan kerana wang ringgit tidak akan kekal namun budi baik yang tetap dikenang," katanya.

Najib berkata berpaksikan konsep 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, beliau percaya golongan belia akan terus memacu negara ke hadapan.

Menurutnya sebagai pewaris bangsa, agama dan negara, golongan muda sewajarnya meneruskan perjalanan mulia ini, lebih-lebih lagi dalam memupuk dan menyuburkan perpaduan nasional. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain