suria

Empat Individu Ditahan Dalam Perhimpunan Haram Bantah Kilang Lynas

KUANTAN: Empat orang termasuk dua wanita ditahan pada Ahad, selepas terbabit dalam perhimpunan haram membantah pembinaan pusat pemprosesan nadir bumi di Gebeng.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner (ACP) Mohd Jasmani Yusof berkata mereka adalah antara kira-kira 150 orang yang berhimpun tanpa permit di hadapan pejabat DAP, di Jalan Beserah di sini.

"Mereka berhimpun sejak pukul 10.30 pagi tadi dan polis telah meminta mereka bersurai. Keempat-empat individu ini ingkar arahan polis dan bertindak berbaring di atas jalan raya," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata identiti empat individu itu belum dikenal pasti dan mereka telah dibawa ke balai polis untuk disoal siasat.

"Tangkapan itu merupakan penahanan pertama yang membabitkan isu berkenaan," katanya.

Turut kelihatan pada perhimpunan itu ialah Anggota Parlimen Indera Mahkota dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azan Ismail dan dua anggota Dewan Undangan Negeri Pahang (Adun) DAP iaitu Choong Siew Onn (Teras) dan Leong Ngah Ngah (Triang).

Sebelum ini Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Ab Ghani telah memberi amaran akan bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba menimbulkan kekecohan berhubung isu pembinaan pusat pemprosesan nadir bumi itu.

Pembinaan kilang bernilai RM700 juta oleh Lynas Malaysia Sdn Bhd, anak syarikat Lynas Corporation dari Australia, di kawasan perindustrian Gebeng itu menimbulkan kontroversi kerana didakwa bakal menghasilkan radiasi yang boleh memudaratkan kesihatan orang ramai.

Beberapa siri penerangan yang dianjurkan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (LPTA) dan kerajaan negeri Pahang di sekitar Kuantan baru-baru ini dilihat tidak memberi kesan positif.

Kerajaan pada 22 April lepas telah mengumumkan penubuhan satu panel bebas bagi menjalankan kajian terhadap aspek kesihatan dan keselamatan kilang itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain