suria

Belia Perlu Lebih Ruang Dialog Bersama Pemimpin Negara - Ali Rustam

ALOR GAJAH: Golongan belia perlu diberikan lebih banyak ruang untuk berdialog dengan pemimpin negara sebagai langkah memperkasa golongan itu bagi menyumbang kepada masa depan tanah air.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata melalui langkah itu, kerajaan juga boleh memahami dengan lebih tepat keperluan serta kemahuan belia bagi memastikan mereka sentiasa maju.

"Kerajaan kini bersedia menjadi pendengar yang baik dan mempunyai empati terhadap sudut pandangan belia sendiri," katanya dalam teks ucapan sempena Hari Belia Peringkat Negeri Melaka 2011 di Dataran Keris, Ahad.

Teks ucapan beliau dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Belia dan Sukan negeri Datuk Gan Tian Loo.

Mohd Ali berkata pada waktu yang sama, menerusi sesi dialog berkenaan, golongan belia dapat memahami dasar serta isu semasa membabitkan kerajaan.

Beliau berkata golongan itu juga perlu mempersiapkan diri bagi merealisasi Model Baru Ekonomi yang ingin melihat rakyat di negara ini berpendapatan tinggi dengan menggarap ilmu serta kemahiran secukupnya dalam kehidupan mereka.

Mohd Ali juga berkata persatuan belia serta agensi kerajaan harus berusaha menarik lebih ramai anggota di kalangan generasi muda ini, dan media alternatif seperti Internet perlu dimanfaatkan untuk menawan hati mereka.

Bercakap kepada pemberita, Gan berkata kerajaan berusaha keras bagi membanteras gejala sosial di kalangan remaja, dan bagi tujuan itu, Jelajah 1Malaysia Kami Prihatin dilancarkan, iaitu sebahagian daripada program Rakan Muda.

Beliau berkata program itu, yang melibatkan penjelajahan lebih 200 motosikal berkuasa tinggi ke seluruh negara mulai esok sebelum berakhir 22 Mei ini, turut disertai selebriti terkenal Linda Onn dan Fauziah Latiff.

"Pada program ini, peserta akan mengedarkan pamplet mengenai pembuangan bayi dan gejala sosial, mengadakan ceramah ringkas serta sesi hati ke hati dengan golongan belia untuk memastikan golongan itu bebas daripada masalah sosial," katanya.

Melaka dipilih sebagai tuan rumah program berkenaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain