suria

Aimi Jarr pernah cintai Saloma

Aimi Jarr banyak menulis mengenai P.Ramlee. - Foto THE STAR Oleh ABDUL RAHMAN SENIN
Aimi Jarr banyak menulis mengenai P.Ramlee. - Foto THE STAR Oleh ABDUL RAHMAN SENIN
Aimi Jarr banyak menulis mengenai P.Ramlee. - Foto THE STAR Oleh ABDUL RAHMAN SENIN

PADA pagi Selasa lalu (10 Mei 2011), dunia kewartawanan hiburan dikejutkan dengan pemergian bekas wartawan hiburan terkenal, Aimi Jarr atau Omar Puteh.

Beliau meninggal dunia pada usia 72 tahun akibat serangan jantung di rumahnya di Taman Melawati, Kuala Lumpur.

Saya mengenali Aimi Jarr sejak tahun 1993 ketika saya baru memulakan tugas sebagai wartawan hiburan di majalah Pesta. Majalah itu sudah ditutup. Pada waktu itu Allahyarham bertugas sebagai Timbalan Pengarang. Beliaulah yang menghantar surat panggilan temu duga untuk saya. Surat itu saya masih simpan sampai sekarang.

Semasa hari pertama saya berjumpa Allahyarham. Saya rasa amat bertuah kerana saya akan bekerja dengan seorang wartawan hiburan popular. Dia juga seorang pelakon drama yang popular pada waktu itu.

Saya melihat, Allahyarham benar-benar hebat dalam dunia hiburan. Dia boleh berlakon dan juga boleh menjadi wartawan yang terkenal pada zamannya.

Aimi Jarr juga menyimpan banyak cerita artis-artis popular ketika zaman P.Ramlee. Malah nama Aimi Jarr itu diberi sendiri oleh P.Ramlee kerana seniman agung itu tidak mahu nama Aimi Jarr yang sebenar iaitu Omar Puteh sama dengan nama asal P.Ramlee, Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh.

Mengenali Allahyarham, dia seorang yang gemar bercerita. Perasaannya menjadi lebih teruja apabila kita meminta dia bercerita kisah-kisah artis lama apatah lagi kisah macam mana dia bekerja sebagai wartawan pada zaman dahulu bagi mendapatkan berita.

Malah hubungan Allahyarham dengan para artis dahulu juga cukup baik dan “kamcing”. Tapi dalam baik-baik itu, Allahyarham tidak akan mengetepikan tanggungjawabnya sebagai wartawan.

Prinsip kewartawanannya cukup kuat. Dia akan mengkritik sesiapa saja yang dia fikirkan perlu. Wartawan hari ini tidak macam itu. Ada yang menjadi “balaci” artis. Malah jika hubungan itu baik, mereka langsung tidak mahu mengkritik artis tersebut.

Allahyarham contoh wartawan hiburan yang berjaya pada eranya. Hubungan Allahyarham dengan artis bukan sahaja baik tetapi pernah membabitkan rasa cinta.

Allahyarham bercerita dia pernah jatuh hati pada Saloma lalu ingin mengajaknya kahwin. Kata Saloma, kalau dia berkahwin dengan Allahyarham, mampukah Allahyarham membelinya sepasang kasut RM400?

Perasaan Aimi Jarr terhadap Saloma berputik kerana biduanita itu seorang yang manja. Malah setiap kali mereka keluar, Saloma bagaikan memberi harapan kepada Aimi Jarr.

Saya tergelak apabila Aimi Jarr memberitahu apabila Saloma ingin berkahwin dengan P.Ramlee, dia menangis dan merajuk.

Aimi Jarr juga tidak hadir pada majlis pernikahan mereka dan bermasam muka selama enam bulan dengan P. Ramlee dan Saloma. Tetapi Saloma dan P.Ramlee tidak mahu hubungan itu keruh sehinggalah mereka menghadiahkan Aimi Jarr jambangan bunga sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-23. Hubungan itu akhirnya kembali jernih.

Kata Aimi, sejak itu barulah dia boleh menerima kenyataan bahawa Saloma sudah menjadi milik P.Ramlee.

Selain cerita itu, Aimi Jarr juga mempunyai cerita menarik apabila dia diugut oleh pelakon Ahmad Mahmood ketika menjalankan tugasnya sebagai wartawan dengan majalah Gelanggang Filem. Majalah tersebut adalah kepunyaan P.Ramlee.

Semasa di studio Jalan Ampas, Ahmad Mahmood merungut kepada Aimi Jarr apabila dia tidak mahu berjumpa dengan satu rombongan peminat yang mahu melawat studio itu. Semasa peminat tiba, Ahmad Mahmood telah bersembunyi di satu sudut studio berkenaan kerana terlalu penat akibat penggambaran filem.

Disebabkan perbuatan pelakon itu mempunyai nilai berita yang tinggi, Aimi Jarr telah menulis kisah berkenaan dalam majalah Gelanggang Filem menyebabkan Ahmad Mahmood mengamuk lalu bertindak untuk menyaman dia dan juga P.Ramlee.

Kerana tindakan Aimi Jarr itu juga hubungan P.Ramlee dengan Ahhmad Mahmood agak renggang tetapi P.Ramlee berjaya memujuknya dengan memberitahu apa yang ditulis oleh Aimi Jarr adalah tidak sengaja kerana dia tidak tahu cerita berkenaan sebenarnya “off records”.

Aimi dan Ahmad Mahmood tidak bertegur selama lima tahun. Akhirnya selepas berjumpa ketika menziarahi kenalan yang meninggal dunia, barulah mereka bersalam dan bertegur di antara satu sama lain.

Kisah-kisah itu memperlihatkan bagaimana Allahyarham berjaya mencipta kehebatan sebagai seorang wartawan hiburan pada era kegemilangan filem hitam putih.

Beliau juga pernah bekerja sebagai wartawan di Utusan Melayu selama 13 tahun bermula 1970.

Kehebatan yang ditonjolkan itu seharusnya ada pada semua wartawan hiburan hari ini. Bekerja sebagai wartawan hiburan yang bergelumang dengan dunia artis bukan untuk menumpang populariti sebaliknya bagi melaporkan apa yang patut dilaporkan.

Kali terakhir Allahyarham muncul menerusi rancangan Aku Dia & Lagu... Saloma di TV1 pada 24 April lalu sebagai ahli panel.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat. Al-fatihah.

NIEZAM: Takziah kepada keluarga Datin Orchid Abdullah yang meninggal dunia pada Jumaat lalu.

Artikel Sebelum

Artikel Lain