suria

Agong Dan Raja Permaisuri Hadir Jamuan Rakyat Di Dewan Wawasan

JITRA: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah malam ini berkenan mencemar duli menghadiri majlis jamuan rakyat di Dewan Wawasan di sini.

Baginda berdua berangkat masuk ke dalam dewan bersama-sama Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Sultanah Haminah Hamidun pada kira-kira pukul 8.50 malam.

Kumpulan Badan Kesenian Negeri Kedah memulakan majlis dengan menyembahkan nyanyian dan tarian selamat datang sebagai tanda menyambut baginda berdua, dan majlis diserikan lagi dengan persembahan hiburan orkestra Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dengan artis jemputan Dayang Nur Faizah.

Turut hadir ialah Raja Muda Kedah, Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak serta anggota Exco dan pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berada di Kedah untuk lawatan tiga hari yang bermula Jumaat.

Pada Ahad, Tuanku Mizan berkenan untuk berangkat mendengar taklimat pembangunan negeri di Wisma Darul Aman yang merupakan pusat pentadbiran negeri, manakala Tuanku Nur Zahirah akan melawat pesakit di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar pada pukul 10.30 pagi. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain