suria

Warga Malaysia Mengaku Ruduhan Rasuah Universiti Curtin

MELBOURNE: Seorang warga Malaysia yang menjadi perhatian utama dalam kes penipuan ujian kecekapan Bahasa Inggeris Curtin University mengaku bersalah pada Jumaat atas tuduhan rasuah.

Keith Low Kok, (nama yang diberikan di mahkamah) yang bertugas di Pusat Bahasa Inggeris universiti itu, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Perth atas 14 tuduhan rasuah dan satu tuduhan mendapatkan atau meminta rasuah sebagai seorang pegawai awam, lapor Australian Associated Press (AAP).

Low adalah yang ketujuh daripada lapan orang yang mengaku bersalah atas tuduhan rasuah.

Suruhanjaya Rasuah dan Jenayah (CCC) Western Australia mendakwa kesemua lelaki itu atas tuduhan bahawa keputusan ujian Bahasa Inggeris dipalsukan di Curtin University untuk membantu pelajar antarabangsa mendapatkan visa dan tinggal di Australia.

Pemohon untuk tinggal tetap dan bekerja atau mendapatkan visa pelajar perlu membuktikan kecekapan mereka di bawah Sistem Ujian Bahasa Inggeris Antarabangsa (IELTS), yang diserahkan kepada Jabatan Imigresen.

Jenayah itu dikatakan berlakukan selama 12 bulan dari Jun 2009, lapor AAP.

Orang-orang lain yang terlibat termasuk orang perantara dan pelajar asing.

Rikenkumar Jentilal Vaishnani dan Vishal Jitendrakumar Pandya mengaku bersalah atas dakwaan berkenaan pada Rabu lepas.

Abdul Kader, Vimal Vinodray Majithiya, Pritesh Chetan Shah dan Hainder Jit mengaku bersalah bulan lalu.

Kader dan Shah masing-masing menghadapi 14 tuduhan rasuah, Pandya lima tuduhan, Vaishnani tiga tuduhan, dan Majithiya dan Jit masing-masing menghadapi dua tuduhan.

Navin Ramji Bhudiya, yang menghadapi tiga tuduhan, hadir di mahkamah Rabu lepas dan kesnya direman hingga 25 Mei.

Low akan dijatuhi hukuman di Mahkamah Daerah Perth pada 10 Jun. -BERNAMA

Artikel Lain