suria

Wanita Malaysia Dihantar Pulang Kerana Tidak Dapat Kebenaran Imigresen Banda Aceh

JAKARTA: Pihak berkuasa imigresen Banda Aceh telah memutuskan bahawa seorang wanita anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Malaysia yang bekerja dalam projek pembangunan ekonomi Aceh, harus dihantar pulang ke negara asal kerana didapati tidak mempunyai izin imigresen untuk bekerja di provinsi itu.

Wanita berusia 37 tahun itu didapati melanggar undang-undang imigresen, walaupun beliau telah mempunyai izin daripada Kementerian Tenaga Kerja dan Transmigrasi, Sekretariat Negara dan Kementerian Sosial, untuk bekerja di situ.

Ketua Pejabat Imigresen Banda Aceh, Agus Widjaja memberitahu wartawan tempatan hari ini bahawa wanita berkenaan didapati menyalahgunakan visa lawatan untuk bekerja di situ.

Dia dilaporkan telah disoal siasat selama lima jam di Pejabat Imigresen Banda Aceh semalam.

Mengikut laporan, wanita itu telah bekerja sejak lapan bulan lalu di projek pembangunan ekonomi Aceh (EDFF) - Action Aid Australia.

Sebelum ini pejabat imigresen yang sama telah menghantar pulang dua warga Amerika Syarikat juga atas kesalahan menyalahgunakan visa mereka. -BERNAMA

Artikel Lain