suria

Senarai Makanan Dilarang Dijual Di Sekolah Akan Dimukatamad Bulan Depan

KEMAMAN: Satu senarai makanan meliputi jenis 15 makanan yang dianggap tidak sihat bagi kanak-kanak akan dimuktamadkan pada bulan depan, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Beliau berkata antara makanan yang dianggap tidak sihat ialah gula-gula, jeruk, makanan yang dicampur dengan pewarna tiruan, makanan yang diproses seperti, burger, nuget dan minuman berkarbonat.

Menurut Rosnah, senarai tersebut akan dihantar kepada Bahagian Kualiti Pemakanan kementerian itu dan ia patut disiapkan pada bulan ini bagaimanapun perbincangan bersama Kementerian Pelajaran masih lagi berlangsung.

“Kami juga mengkaji kebimbangan orang awam terhadap isu ini. Kami mengambilkira pelbagai perspektif sebelum membuat keputusan muktamad mengenai senarai tersebut.

“Sejajar dengan cadangan itu kita juga telah mengenalpasti 60 jenis makanan sihat seperti nasi goring, kuey teow sup dan mi sup untuk dijual oleh pengusaha kantin,” katanya selepas melancarkan mesyuarat Umno Bahagian Kemaman di sini, Jumaat.

Dalam perkembangan lain, Rosnah berkata Terengganu mempunyai potensi untuk menjadi destinasi pelancongan kesihatan sekaligus memberi peluang kerajaan negeri untuk memajukan industri kesihatan.

“Dengan adanya destinasi yang menjadi tarikan seperti Tasik Kenyir dan Pulau Kapas, saya lihat tidak ada sebab mengapa negeri ini tidak boleh menjadi destinasi pelancongan kesihatan juga,” katanya.

Jelasnya, setakat ini Pulau Pinang dan Lembah Klang telah menjadi destinasi pelancongan kesihatan.

Artikel Lain