suria

Pemandu Maut, Bayi Cedera Parah Dalam Kemalangan

IPOH: Seorang maut manakala tiga lagi termasuk seorang bayi parah apabila kereta yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan di Km 290 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Simpang Pulai di sini malam Jumaat.

Pemandu kereta itu Abdul Fatah Abdul Latif, 27, yang bertugas di Universiti Perguruan Sultan Idris Shah (UPSI) Tanjung Malim cedera parah di kepala dan mati di tempat kejadian.

Mereka yang cedera parah ialah kakak Abdul Fatah iaitu Suriani, 31, dan dua anaknya iaitu Nik Fawas Mohd Fazli, 5, dan Nik Norfarwizah Arbiah Mohd Fazli, tiga bulan.

Kesemua mereka dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun, manakala seorang lagi anak perempuan Suriani berusia dua tahun yang turut berada dalam kereta itu tidak cedera, kata Ketua Polis Trafik Daerah Ipoh DSP Mohd Rodzi Rejab.

Beliau berkata dalam kejadian pada pukul 9 malam tadi itu, Suriani dan anak-anaknya menumpang kereta adiknya untuk pulang ke rumah mereka di Manong, Kuala Kangsar.

Kereta jenis Honda Civic yang dipandu Abdul Fatah dalam perjalanan dari Tanjung Malim ke Kuala Kangsar itu dikatakan gagal dikawal lalu terbabas ke kiri jalan menyebabkan kenderaan itu remuk, katanya.

Sementara itu dalam kejadian lain, sebuah bas yang dalam perjalanan dari Pengkalan Hulu ke Ipoh musnah terbakar di Km 52.7 jalan Gerik-Ipoh dekat Pengkalan Hulu, pada pukul 10 pagi Sabtu.

Enam belas penumpang termasuk pemandu bas itu selamat. -BERNAMA

Artikel Lain