suria

Pegawai Bomba Setuju Terima Rasuah Dihukum

SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, memerintahkan seorang pegawai bomba dihukum penjara dua tahun selepas disabitkan bersalah atas pertuduhan bersetuju untuk menerima rasuah berjumlah RM1,500, dua tahun lalu.

Hakim M Bakri Abd Majid juga memerintahkan supaya Hasnan Che Din menjelaskan denda RM10,000 atau sekiranya gagal, dipenjarakan untuk tempoh selama enam bulan.

Hukuman tersebut dijatuhkan selepas M Bakri berpuas hati bahawa pembelaan yang dibangkitkan oleh Hasnan yang berkhidmat di Balai Bomba dan Penyelamat Damansara, Petaling Jaya, dekat sini, gagal untuk menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap pertuduhan.

Selain itu, beliau juga menolak pembelaan tertuduh yang mendakwa wang tunai tersebut sebenarnya adalah sebagai sumbangan yang diberikan untuk kegiatan sukan kerana perkara tersebut tidak pernah ditimbulkan pada peringkat awal pendakwaan.

"Oleh itu, saya menyifatkan pembelaan yang dikemukakan oleh tertuduh adalah bersifat difikirkan semula dan rekaan semata-mata," katanya.

Hasnan didakwa bersetuju menerima suapan tersebut daripada Lim Kok Guan yang dikatakan sebagai upah untuk mendapatkan surat sokongan bagi meluluskan permohonan lesen perniagaan syarikat Perfect Driving Academy Sdn Bhd.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di bilik fail balai bomba temoat dia bertugas pada pukul 5.40 petang, 21 November 2009.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Siti Zakiah Che Man mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 1997 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta sama.

Seksyen tersebut membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan yang mana lebih tinggi.

Perbicaraan sebelum ini melibatkan 17 saksi termasuk lima saksi pembelaan.

Pada rayuannnya untuk meringankan hukuman, mahkamah dimaklumkan bahawa tertuduh telah berkhidmat dengan jabatan bomba selama 16 tahun dan mempunyai empat orang anak.

Artikel Lain