suria

PDRM Terima Laporan Penahanan Rakyat Malaysia Di Singapura

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menerima maklumat berhubung penahanan dua rakyat Malaysia oleh Biro Dadah Pusat (CNB) Singapura, ekoran penemuan 3.3kg heroin bernilai S$488,000 (RM1.18 juta).

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Khalid Abu Bakar berkata pihaknya akan menjalankan siasatan berhubung perkara itu.

"Kini kita akan menjalankan siasatan lanjut di sebelah kita (Malaysia) dan dilaporkan dadah dibawa dari Johor," katanya.

Kedua-dua rakyat Malaysia yang ditahan itu adalah penganggur dan mereka diberkas secara berasingan iaitu pada Rabu dan Khamis.

Pada Rabu, pegawai-pegawai CNB di pusat pemeriksaan Woodlands menemui dua bungkusan heroin seberat 460 gram tersembunyi di ruang bateri motosikal yang dinaiki seorang lelaki berumur 27 tahun.

Semalam pula, mereka menemui enam bungkusan mengandungi 2,800 gram dadah serupa pada motosikal yang dinaiki seorang lelaki berumur 26 tahun.

Mereka disiasat mengikut Akta Penyalahgunaan Dadah, dan jika disabit kesalahan, boleh dihukum mati.

Sementara itu, Khalid berkata seorang ahli perniagaan warga Singapura yang ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada Jumaat lepas, akan diusir dari negara ini bila-bila masa.

Abdul Majid Kunji Mohamad ditangkap kerana disyaki terlibat menyalurkan dana dan memberi bantuan logistik kepada kumpulan militan di selatan Filipina. -BERNAMA

Artikel Lain