suria

Mesyuarat Dewan Tertinggi BN Ditangguhkan

PETALING JAYA: Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) yang dijadual berlangsung malam ini ditangguhkan kepada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Perkara tersebut dimaklumkan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Ibu Pejabat BN di sini pada Jumaat.

Difahamkan mesyuarat tersebut ditangguhkan kerana ketiadaan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang telah berlepas ke Arab Saudi pagi tadi atas urusan rasmi kerajaan.

Najib dan isteri dijadual mengadakan pertemuaan dengan Raja Abdullah Abdul Aziz dan seterusnya mengerjakan umrah sebelum memulakan lawatan kerja selama dua hari ke Qatar pada Sabtu.

Antara agenda utama yang sepatutnya dibincangkan pada mesyuarat Dewan Tertinggi BN adalah mengenai persiapan jentera parti dalam menghadapi pilihan raya ‘percubaan’ tidak lama lagi.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata kertas kerja mengenai pilihan raya 'percubaan' itu akan dibentang pada mesyuarat berkenaan memandangkan BN dijadual mengadakannya Julai ini. Tengku Adnan berkata BN perlu membuat persiapan untuk menghadapi pilihan raya umum dengan mengambil iktibar daripada beberapa pilihan raya kecil sebelum ini dan pilihan raya negeri Sarawak.

Parti komponen BN di Sarawak juga dijangka membentangkan laporan mengenai pilihan raya negeri itu pada mesyuarat berkenaan untuk digunakan sebagai input dalam merangka strategi pilihan raya umum akan datang. Pada pilihan raya negeri Sarawak 16 April lepas, BN menang 54 daripada 71 kerusi, sekaligus mengekalkan majoriti dua pertiga di Dewan Undangan Negeri.

Artikel Lain