suria

Firefly Terima Boeing 737-800 Ketiga Untuk Operasi Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Firefly, anak syarikat penerbangan komuniti Malaysia Airlines (Mas), menerima pesawat Boeing 737-800 ketiganya untuk ditempatkan di sini, yang secara rasmi menjadikan Kota Kinabalu sebagai hab timurnya.

Firefly kini menawarkan khidmat harian antara Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu menggunakan dua pesawat 737-800, dan dengan penerimaan pesawat baharu itu, tiga pesawat akan terbang enam kali sehari di laluan terbabit.

Pengarah Urusan Firefly Datuk Eddy Leong yang menyambut baik penyerahan pesawat baharu itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, berkata pelancaran Kota Kinabalu sebagai hab timur merupakan sebahagian daripada pelan syarikat dalam mengukuhkan rangkaian domestik.

Ia juga merancang untuk melancarkan Senai di Johor sebagai hab selatannya tidak lama lagi.

"Untuk hab selatan, sasaran kami ialah mendapatkan satu penerbangan berlepas setiap jam dari Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur.

"Kami merancang mempunyai tiga hab: Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai di Johor dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

"Menjelang minggu depan, kami akan menerima Boeing 737-400 kedua yang berpangkalan di Johor dan memulakan laluan Johor Bahru-Kuching pada 19 Mei. Pada 16 Jun, kami akan mulakan laluan JB-Kota Kinabalu," katanya kepada pemberita semasa ditemui di lapangan terbang di sini, Sabtu.

Dilancarkan pada 3 April 2007, Firefly pada peringkat awalnya memulakan operasi keluar dari hab Pulau Pinang dan Subang sebelum memindahkan operasi utama ke KLIA.

Ia menghubungkan pelbagai tempat di Malaysia, Selatan Thailand, Singapura dan Indonesia, menyelaraskannya dengan agenda Kawasan Pertumbuhan Segitiga Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT).

Setakat ini, pesawat Firefly terdiri daripada 10 ATR 720-500, sebuah B737-400 dan tiga B737-800.

Selari perancangan jangka panjang syarikat untuk memiliki sekurang-kurangnya 30 B737-800 dalam tempoh lima tahun, Leong berkata mereka akan memberi tumpuan terhadap meningkatkan dan memajukan rangkaian destinasi domestik.

"Kami mahu memberi perkhidmatan ke semua bandar raya utama di Sabah dan Sarawak, kemudian bergerak ke Johor, Langkawi, Pulau Pinang dan Kota Bharu, sebelum meneroka peringkat antarabangsa pada separuh kedua 2012," katanya.

Dari segi pelaburan, Leong berkata tidak banyak perbelanjaan modal yang terlibat memandangkan syarikat itu menggunakan pesawat pajak dan menggunakan kemudahan kejuruteraan dan pengendalian darat MAS.

"Wang yang dapat diselamatkan itu direalisasikan kepada tambang rendah, itu sebab mengapa kami menjamin dapat memberi tambang yang rendah berbanding pesaing lain di Malaysia," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain