suria

Dua Suspek Pukul Pegawai JPJ Serah Diri

KUALA TERENGGANU: Dua suspek yang terlibat dalam kes memukul seorang pegawai penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada petang Isnin lepas di Jalan Jerangau-Jabor, Dungun, menyerah diri kepada polis.

Kedua-dua suspek, masing-masing berumur 19 serta 45 tahun dan berasal dari Kelantan, menyerah diri di Balai Polis Dungun kira-kira pukul 7.30 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K Manoharan berkata polis telah mengenal pasti kesemua suspek yang terlibat dan mereka dipercayai berasal dari Kelantan dan menetap di Shah Alam, Selangor.

Manoharan berkata kedua-dua suspek itu direman selama empat hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut.

"Kita menasihati bapa dan adik suspek yang berusia 19 tahun itu datang menyerah diri di balai polis berhampiran dengan segera selain beberapa lagi individu termasuk rakan dan anggota keluarga suspek," katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di sini, Jumaat.

Dalam kejadian pada Isnin lepas, Ketua Pembantu Penguatkuasa JPJ Ismail Daud, 45, cedera di muka dan badan selepas dibelasah sekumpulan lelaki di Jalan Jerangau-Jabor, Dungun, ketika cuba memeriksa lesen memandu seorang remaja lelaki. -BERNAMA

Artikel Lain