suria

Tindakan Kepada Restoran Jika Naikkan Harga Minuman - Ismail Sabri

KUALA LUMPUR: Pemilik restoran yang menaikkan harga minuman secara tidak munasabah berikutan kenaikan harga gula sebanyak 20 sen kepada RM2.30 sekilogram pada Selasa akan dikenakan tindakan di bawah Akta Anti Pencatutan 2010.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, berdasarkan simulasi yang dilakukan, harga baru bagi secawan minuman hanya melibatkan 0.4 peratus daripada kenaikan sebanyak 20 sen.

"Jadi kalau ada kenaikan sehingga 10 sen dan sebagainya, kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan keras terhadap pemilik restoran di bawah Akta Anti Pencatutan 2010.

"Sejak akta itu dikuatkuasakan bulan lalu belum ada kes dilaporkan. Namun, kalau ada pemilik yang berdegil, kes itu akan diletakkan sebagai kes percubaan akta tersebut," katanya pada sidang media selepas merasmikan Kempen Kurang Gula, Kurang Belanja di Menara KL, di sini Jumaat.

Walaupun harga gula naik, Ismail Sabri berkata, sehingga hari ini masih belum ada restoran yang menjadikan kenaikan itu sebagai alasan untuk menaikkan harga minuman.

"Baru-baru ini, ahli Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) dan Persatuan Pengusaha Restoran India (PRISMA) mengeluarkan kenyataan media bahawa mereka berjanji tidak akan menaikkan harga minuman berikutan kenaikan harga gula," ujarnya.

Menurut beliau, akta tersebut turut dikuatkuasakan terhadap peniaga yang menaikkan harga gula secara keterlaluan.

"Kita akan arahkan pegawai pemantau harga di seluruh Malaysia untuk meninjau harga gula dari semasa ke semasa. Jika berlaku kenaikan melampau, kita akan rampas dan tindakan segera akan diambil.

Memandangkan seramai 1,600 pegawai pemantau harga ditempatkan di seluruh negara, Ismail Sabri turut meminta kerjasama orang ramai supaya melaporkan kepada KPDNKK jika gula dijual pada harga lebih tinggi.

Ketika ditanya sama ada harga gula sedia ada akan dikekalkan, beliau berkata, kerajaan akan mengkaji semula harga gula setiap enam bulan tertakluk kepada pasaran semasa.

"Jika harga naik lagi, kerajaan akan tentukan sama ada akan teruskan pemberian subsidi atau sebaliknya. Segalanya bergantung kepada harga di pasaran dunia," katanya.

Jelas beliau, harga runcit gula di negara ini jauh lebih rendah berbanding negara serantau seperti Indonesia, Singapura, Thailand dan Singapura.

Sementara itu, beliau turut memuji inisiatif Restoran D' Tandoor dan Restoran Ali Maju yang menyokong kempen kerajaan untuk mengurangkan pengambilan gula dalam minuman di kalangan rakyat Malaysia.

"Pengambilan gula dalam kuantiti sedikit bukan saja baik untuk kesihatan tapi menguntungkan pengguna dari segi perbelanjaan. Saya harap rakyat tidak melihat perkara ini sebagai kesukaran. Sebaliknya mereka perlu terima cadangan kerajaan dengan cara positif," jelasnya.

Menerusi kempen itu, Restoran D' Tandoor mengenakan diskaun sebanyak 10 peratus bagi minuman kurang manis manakala Restoran Ali Maju mengurangkan 10 sen bagi pesanan minuman yang sama.

"Jika harga naik lagi, kerajaan akan tentukan sama ada akan teruskan pemberian subsidi atau sebaliknya. Segalanya bergantung kepada harga di pasaran dunia," katanya.

Sementara itu, beliau turut memuji inisiatif Restoran D' Tandoor dan Restoran Ali Maju yang menyokong kempen kerajaan untuk mengurangkan pengambilan gula dalam minuman di kalangan rakyat Malaysia.

Artikel Lain