suria

Perpaduan Umat Islam Kini Rapuh - Majlis Perwakilan Pemangku Raja Terengganu

KUALA TERENGGANU: Umat Islam hari ini berada dalam keadaan menyedihkan dengan perpaduan semakin rapuh dan sikap keakuan yang kian menebal.

Anggota Majlis Perwakilan Pemangku Raja Terengganu Tengku Sri Laksamana Raja Tengku Sulaiman Sultan Mahmud berkata budaya tuduh-menuduh, saling menjatuhkan antara satu sama lain dan mementingkan diri semakin berleluasa pada kalangan orang Islam sekarang.

"Umat Islam dipandang hina kerana perpecahan, dan keegoan ini menyaksikan satu persatu tamadun dan kerajaan di bawah pimpinan orang Islam hancur.

"Sebagai contoh apa yang berlaku di Mesir, Libya, Iraq dan banyak lagi negara-negara Islam yang berada di ambang kehancuran," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menutup Tilawah al-Quran peringkat negeri Terengganu di sini malam tadi, yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said.

Justeru, Tengku Sulaiman meminta umat Islam di negara ini mengubah keadaan itu dengan kembali bersatu, serta saling tegur-menegur dan menanam sikap sanggup berjuang demi menegakkan kalimah Allah.

"Marilah sama-sama kita berusaha dan berdoa agar ia tidak berlaku di bumi Malaysia yang amat kita sayangi ini," katanya.

Pada majlis tilawah kali ini, Ahmad Tarmizi Ali dari Dungun muncul johan qari, sementara Nur Hidayah Abdul Rahman dari Setiu, mempertahankan johan qariah yang dimenanginya tahun lepas.

Masing-masing yang membawa pulang hadiah wang tunai RM7,000, piala iringan, sijil serta pakej haji, akan mewakili Terengganu ke tilawah al-Quran peringkat kebangsaan di Sarawak yang dijadual bermula 13 Jun ini. - BERNAMA

Artikel Lain