suria

Lelaki Maut Jatuh Dari Bumbung Semasa Gotong-Royong

SUNGAI PETANI: Seorang lelaki maut selepas terjatuh dari bumbung sebuah dewan orang ramai semasa melakukan kerja-kerja penambahbaikan di Taman Semarak, di sini, Jumaat.

Mangsa Abdul Rahman Saad, 58, yang juga Pengerusi Badan Kebajikan Islam Taman Semarak Satu, ditemui selepas terjatuh oleh rakannya kira-kira pukul 9.30 pagi.

Menurut saksi Abu Bakar Saidin, 49, sebelum kejadian itu mangsa hadir bersama rakan-rakan yang lain untuk melakukan aktiviti gotong-royong di sekitar kawasan dewan berkenaan.

Abu Bakar berkata, mangsa dipercayai terjatuh ketika sedang menampal bumbung yang bocor kerana tidak berpijak pada tempat yang betul.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Hashim Ali mengesahkan kejadian itu dan berkata tiada sebarang unsur jenayah dilaporkan dalam kejadian berkenaan.

"Mangsa mati kerana jatuh dari bumbung dewan dengan ketinggian dalam anggaran 10 kaki (kira-kira 3 meter)," katanya ketika dihubungi. -BERNAMA

Artikel Lain