suria

Kurangkan Aktiviti Luaran, Nasihat Kementerian Kesihatan

KUALA LUMPUR: Orang ramai dinasihati agar mengurangkan aktiviti luaran dan tinggal di dalam rumah berikutan dengan keadaan berjerebu yang boleh menjejaskan kesihatan.

Kementerian Kesihatan meminta orang ramai supaya menggunakan penutup hidung dan mulut sekiranya terpaksa melakukan aktiviti di luar kawasan rumah bagi menjaga kesihatan diri.

"Mereka yang terpaksa melakukan aktiviti luar juga dinasihatkan untuk mencuci tangan dan muka selepas menjalani aktiviti tersebut," kata kementerian itu dalam kenyataan, Jumaat.

Masyarakat digalakkan untuk mandi dengan kerap dan banyak minum air kosong sekurang-kurangnya lapan gelas sehari sebagai langkah menghindari daripada penyakit.

"Jika memandu, gunakan pendingin hawa dalam kenderaan dan pastikan pintu dan tingkap di rumah sentiasa ditutup," kata kenyataan itu.

Semalam, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam laman webnya mencatatkan bahawa 31 kawasan berada pada tahap sederhana dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) antara 51 dan 100 manakala 21 kawasan berada pada tahap baik (IPU 0-50) di seluruh negara pada 5 petang.

Antara kawasan yang mencatatkan IPU tertinggi pada tahap sederhana, pada 5 petang semalam adalah Pelabuhan Kelang, Selangor (99), Bukit Rambai, Melaka (96), Bandaraya Melaka (88) dan Port Dickson, Negeri Sembilan (85). - BERNAMA

Artikel Lain