suria

Kes Penipuan Perbankan Dalam Talian Di Selangor Makin Meningkat

SHAH ALAM: Kes penipuan perbankan dalam talian di Selangor meningkat apabila 173 kes dicatatkan sejak awal tahun ini sehingga semalam, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor ACP Chong Mun Phing.

Beliau berkata jumlah itu lebih tinggi jika dibandingkan dengan bilangan keseluruhan kes pada tahun lepas iaitu sebanyak 126 kes.

"Semalam sahaja, sebanyak tiga kes dilaporkan di negeri ini. Pengguna dan pemegang akaun bank online perlu lebih berhati-hati dan jangan terpedaya dengan sebarang helah yang digunakan oleh penjenayah siber," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat. Chong berkata kes penipuan perbankan dalam talian di Selangor juga mencatatkan peningkatan lebih tiga kali ganda pada 2010 berbanding 35 kes pada 2009.

Beliau berkata pengguna perlu sedar dengan taktik yang digunakan penjenayah siber termasuk menggunakan akaun e-mel yang meminta pengguna mengemaskini akaun bank melalui rangkaian alamat laman web yang disertakan.

"Mangsa diminta menekan satu rangkaian alamat yang disertakan dan satu laman web hampir sama dengan milik bank mangsa dipaparkan yang meminta beberapa maklumat peribadi termasuk bagi tujuan melakukan transaksi.

"Jika menerima sebarang e-mel kononnya daripada pihak bank jangan klik sebaliknya anda perlu terus padam kerana ia akan menyebabkan akaun anda diceroboh seterusnya mengakibatkan wang simpanan anda dicuri tanpa anda sedari," katanya.

Chong berkata pihak bank tidak akan meminta pemegang akaun mengemaskini maklumat melalui kiriman e-mel dan sekiranya menerima sebarang e-mel yang meragukan, pengguna dinasihatkan tidak memberi sebarang respons.

Katanya, sekiranya menerima e-mel yang meragukan, pengguna sepatutnya berhubung dengan pihak bank bagi mendapatkan sebarang kesahihan. -BERNAMA

Artikel Lain