suria

Kastam Rampas 215kg Heroin Mentah Bernilai RM37.8 Juta

PELABUHAN KLANG: Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Selangor dengan bantuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor merampas 278 bungkusan berisi heroin mentah dianggarkan bernilai RM37.8 juta bulan lepas.

Bahan seberat 214.5kg itu dimuatkan di dalam kampit-kampit simen yang diimport dengan kontena dari Pakistan.

Bercakap pada sidang akhbar di sini hari ini, Pengarah Kastam Selangor Datuk Azis Yacub berkata bahan itu dibungkus di dalam plastik dan kelihatan seperti roti Perancis. Heroin itu ditemui berikutan pemeriksaan rapi terhadap sebuah daripada lima kontena yang setiap satunya berisi 560 kampit simen pada 28 April lepas.

Kesemua kontena yang tiba dari Pelabuhan Karachi, Pakistan itu ditahan pada 18 April di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, berikutan risikan yang dilakukan kedua-dua agensi tersebut.

Susulan daripada kerjasama polis, Azis berkata dua warga Iran berusia 21 dan 27 tahun ditahan di sebuah kondominium di Jalan Tun Razak pada 5 Mei lepas.

Mereka kini ditahan reman sehingga Selasa depan dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

Pada sidang akhbar yang sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor ACP Nordin Kadir berkata jika diproses, harga pasaran heroin itu boleh meningkat antara dua dan tiga kali ganda.

Sementara itu , Azis berkata Kastam Selangor akan lebih agresif dalam aspek penguatkuasaan terutamanya bagi memastikan tiada ketirisan cukai kerajaan. -BERNAMA

Artikel Lain