suria

Dadah Di Rumah Benjy Mungkin Diletak Orang Lain - Saksi

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret di sini hari ini diberitahu bahawa dadah yang dijumpai di kondominium Menara Duta 2 yang didiami pelakon terkenal Benjy mungkin diletakkan oleh orang lain.

Pembantu rumah Sunarni Isna, 51, yang bekerja dengan Benjy atau nama sebenarnya Khaeryll Benjamin Ibrahim berkata ramai rakan Benjy yang datang ke rumah itu dan beliau tidak tahu apa yang dilakukan kerana lebih banyak menghabiskan masa di bilik belakang.

Sunarni yang telah bekerja selama setahun setengah dengan Benjy berkata pelakon itu selalunya tidak bermalam di rumah tersebut dan hanya pulang sekali seminggu untuk mengambil baju bersih.

Katanya, jika berada di rumah, Benjy akan menghabiskan masa kira-kira sejam sahaja untuk menidurkan anaknya yang berusia lima tahun dan pelakon itu juga tidak tidur di bilik sebaliknya duduk di sofa ruang tamu sahaja.

Menurut Sunarni pada hari kejadian, beliau bertembung dengan Benjy pada pukul 6.30 pagi dan Benjy keluar semula pukul 7 pagi bersama pembantu peribadinya Afifi Hamid.

Sunarni berkata kehadiran Benjy ke rumah itu sering disedarinya kerana Benjy tidak mempunyai kunci dan terpaksa membunyikan loceng supaya beliau membuka pintu.

"Benjy tidak pernah membuka pintu sendiri. Selain saya yang mempunyai kunci rumah adalah isterinya dan Afifi. Jika Benjy bersama Afifi, Afifi yang akan membuka pintu," katanya.

Sementara itu isteri Benjy, Safiya Stephance Kar-Leng Lee, 28, berkata beliau hanya bertembung dengan suaminya dua atau tiga kali seminggu sahaja di rumah itu.

Katanya, Benjy tidak mempunyai kunci rumah dan Afifi merupakan rakan serumah mereka.

Benjy, 33, atau nama sebenarnya Khaeryll Benjamin Ibrahim dibicarakan atas tuduhan memiliki 0.24 gram syabu di No. A-6-5 Menara Duta 2, Jalan 1/38B melalui Jalan Segambut di sini pada 4 petang, 11 Mac tahun lalu.

Tertuduh juga didakwa memiliki 0.14 gram dadah itu di No. C-13-6, Vista Mutiara, Jalan Vista Mutiara, Persimpangan Jalan Ambong Kiri, Kepong Baru di sini pada 3 petang hari yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Perbicaraan di hadapan Majistret Hafizza Sauni disambung 19 Mei ini. -BERNAMA

Artikel Lain