suria

Culik: Kementerian Luar Kerjasama Dengan Pihak Berkuasa Filipina

KUALA LUMPUR: Kementerian Luar sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan di Filipina berhubung kes seorang rakyat Malaysia yang dilaporkan diculik di Pulau Sulu, selatan Filipina, pada 8 Mei lepas.

Konsulat Jeneral Malaysia di Davao City, Mindanao, sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan termasuk Polis Nasional Filipina (PNP) untuk mendapatkan maklumat terperinci dan perkembangan terkini mengenai kes penculikan itu.

Menurut kenyataan kementerian itu hari ini menyatakan bahawa konsulat tersebut juga telah berhubung dengan keluarga Mohd Nazarudin Saidin, 38, mengenai kes berkenaan.

Mohd Nazarudin, dari Sungai Buluh, Selangor, dilaporkan diculik sekumpulan 10 lelaki bersenjata yang tidak dikenali di Pulau Sulu.

"Sehingga kini, tiada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab. Pihak berkuasa Filipina masih meneruskan siasatan bagi mengenalpasti identiti kumpulan terbabit," menurut kenyataan itu.

Ia turut menyebut Kementerian Luar akan terus memantau kes itu dan meneruskan kerjasama dengan pihak berkuasa Filipina. - BERNAMA

Artikel Lain