suria

Bekas Pengurus Koperasi MARDI Dituduh Menipu Lebih RM500,000

SHAH ALAM: Bekas pengurus Koperasi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (koMADRDI), Ishak Salim dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, atas pertuduhan menipu yang membabitkan nilai lebih setengah juta ringgit.

Ishak, 48,yang didakwa bersama rakannya, Mohd Zamri Mohd Taib, 43, iaitu salah seorang pengarah sebuah syarikat hiasan dalaman, Rekalwa Design Sdn Bhd masing-masing mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dihadapi.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu sehingga mendorong syarikat kewangan, MBF Leasing Sdn Bhd meluluskan akujanji berjumlah RM599,922.40 ke dalam akaun Rekalwa Design dengan mempercayai bahawa pegawai MARDI (koperasi) telah meluluskan kontrak projek pembekalan dan peralatan bagi gerai ekspo bergerak koMARDI 2004 kepada Rekalwa Design.

MBF Leasing dikatakan tidak akan meluluskan akujanji tersebut yang dikeluarkan oleh koMARDI sekiranya mereka tidak diperdayakan oleh tertuduh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh pada pukul antara 8.30 pagi dan 5 petang, 1 Mac 2004 di pejabat pegawai-pegawai koMARDI di nombor 3247, Jalan 18/37, Taman Sri Serdang, Seri Kembagan, dekat sini.

Difahamkan Ishak telah meletakkan jawatan pada April tahun yang sama.

Bagi kesalahan itu, Ishak dan Mohd Zamri didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Hakim Aslam Zainuddin membenarkan setiap tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 Jun sebagai sebutan semula kes.

Pada prosiding itu, pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Faten Hadni Khairuddin manakala Ishak diwakili oleh peguam Azwan Ibrahim.

Artikel Lain