suria

Warga Indonesia Mengaku Simpan Keretek Lari Duti Kastam

KLANG: Mahkamah Majistret di sini pada Khamis, memerintahkan dua warga Indonesia membayar denda RM10,000 setiap seorang selepas memgaku bersalah menyimpan 20 karton rokok keretek pelbagai jenis yang tidak mendapat kelulusan pihak kastam.

Majistret Liew Horng Bin juga memerintahkan supaya Tarmizi Asnawi, 33, dan Muan, 39, dihukum penjara selama 12 bulan, sekiranya mereka gagal untuk menjelaskan denda tersebut.

Mereka mengaku bersalah menyimpan karton rokok keretek jenama Wismilak, Sampoerna A, Gudang Garam Surya 16 dan Star Mild yang kesemuanya boleh dikenakan duti bernilai RM600.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada pukul 1 pagi, 6 Oktober 2010 di kedai di Lot 9746, Batu 7, Jalan Kebun, di sini.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa dari Kastam Diraja Malaysia, Jamaludin Zamzam mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Kesekaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 135(1)(i)(aa) akta sama.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau 20 kali ganda nilai atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes yang diakui oleh tertuduh, rokok-rokok tersebut dijumpai di bawah kaunter kedai dan juga di atas longgokkan kayu yang terdapat di luar kedai.

Artikel Lain