suria

Suspek Kes Curi Di Muzium Istana Ditahan Di Beijing

BEIJING: Seorang lelaki yang disyaki mencuri sembilan barangan seni yang sedang dipamerkan di Muzium Istana di sini ditahan oleh polis Beijing pada Rabu malam, menurut laporan China Central Television (CCTV).

Kecurian itu berlaku pada tengah malam 8 Mei, kes kecurian pertama dilaporkan dalam tempoh 20 tahun di muzium dikawal ketat itu yang sebelum ini merupakan istana maharaja yang dikenali sebagai Kota Larangan.

Suspek, Shi Baikui, 28, dari Provinsi Shandong di timur China, ditahan polis pada 7.40 malam di sebuah kafe internet di Daerah Fengtai, di sini, 58 jam selepas barangan seni itu dicuri, menurut laporan itu.

Shi, yang telah tinggal di Beijing selama empat tahun mengaku mencuri barangan seni itu kepada polis dan beberapa daripada barangan itu telah ditemui semula, menurut laporan itu.

Kes itu masih dalam siasatan polis. Barangan seni berkenaan yang dipinjamkan oleh Muzium Liang Yi Hong Kong mengandungi beberapa dompet emas dan bekas kosmetik bertatah permata bercirikan stail Barat yang diperbuat antara 1920 dan 1945.- BERNAMA

Artikel Lain