suria

Pelbagai Kereta Mewah Curi Bernilai RM30 Juta Dijumpai

SHAH ALAM: Polis berjaya menumpaskan tiga sindiket curi kereta dan menemui kenderaan mewah curi yang membabitkan nilai sebanyak RM30 juta.

Seramai 23 suspek juga ditahan di dalam tiga operasi berasingan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin, berkata sindiket tersebut menerima kenderaan curi daripada orang tengah dan kemudian menyimpannya di dalam kontena sebelum dieksport ke luar negara melalui Pelabuhan Klang dekat sini.

"Penjenayah juga akan memalsukan nombor pendaftaran dan dokumen pendaftaran kenderaan curi untuk mengelirukan Jabatan Kastam," jelasnya pada Rabu.

Menurut Mohd Bakri pihak polis menerusi Ops Wangi Logistik telah berjaya menyelesaikan 11 kes curi kereta dengan penangkapan 12 anggota sindiket berumur antara 30 hingga 60 tahun.

Kumpulan penjenayah tersebut dipercayai menyeludup keluar 213 kenderaan ke Dubai melalui Pelabuhan Klang.

Mohd Bakri berkata pihak polis telah merampas kereta mewah jenis Toyota Alphard, Fortuner, Hilux, camry, selain BMW dan Mercedes yang bernilai RM4.5 juta.

"Sindiket telah beroperasi secara aktif sejak Mei tahun lalu di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Perak dan Pahang," tambah beliau.

Dalam satu operasi lain iaitu Ops Kumpulan AAA, polis merampas sebuah kereta model BMW X5 dan sebuah Toyota Estima daripada lima suspek yang terlibat dalam penyeludupan keluar 45 kereta mewah bernilai RM12.5 juta ke negara jiran melalui sempadan Malaysia-Thailand.

Bagi Ops Ampang Merdeka, polis menahan enam lelaki yang terlibat dalam aktiviti membekalkan komponen dari kereta curi untuk pasaran Semenanjung.

Mohd Bakri berkata polis sedang bekerjasama dengan Interpol untuk membawa pulang kenderaan curi yang telah dibawa ke luar negara.

Artikel Lain