suria

Malaysia Akan Terus Kempen Kerusi Jawatankuasa Warisan Dunia

PARIS: Malaysia yang menawarkan diri bagi menduduki kerusi Jawatankuasa Warisan Dunia (WHC), akan meneruskan kempen bagi mendapatkan sokongan untuk menganggotai jawantankuasa itu, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata kempen Malaysia yang diadakan di sini menerima sambutan yang positif, tetapi ia tidak bermakna Malaysia akan terus dipilih menganggotai jawatankuasa itu.

Bercakap kepada wartawan Malaysia di sini Rabu pada akhir lawatannya ke Paris, Perancis dan terdahulu Copenhagen, Denmark, Muhyiddin berkata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim akan mengadakan beberapa perjumpaan untuk mendapatkan sokongan penyertaan Malaysia itu.

"Kita harap akan dapat sokongan penuh untuk menduduki majlis itu," katanya, sambil menambah pemilihan bagi menganggotai jawatankuasa itu akan diadakan hujung tahun ini.

"Kita punyai rancangan agak besar disebabkan ini, kita mahu berperanan dalam Jawatankuasa Warisan Dunia supaya skopnya lebih besar," tambahnya.

Ketika berucap pada Mesyuarat Lembaga Eksekutif Pertubuhan Pendidikan, Saintifik, Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) ke-186 di sini Selasa, Muhyiddin berkata Malaysia berhasrat memainkan peranan dengan lebih penting lagi dalam mengekalkan warisan dunia untuk generasi akan datang, jika terpilih menganggotai Jawatankuasa Warisan Dunia tahun ini.

Muhyiddin berkata Malaysia mempunyai ramai pakar dalam bidang arkeologi, perlindungan serta pengurusan warisan budaya, dan kepakaran mereka boleh digunakan bagi meningkatkan perlindungan warisan dunia.

Mengenai dasar Pendidikan Untuk Semua (EFA), Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata Malaysia tidak mempunyai masalah untuk mencapai sasaran EFA yang ditetapkan Unesco.

Beliau berkata bagi anak-anak warga Malaysia, mereka diberi peluang pendidikan kerana ia adalah perkara universal.

"Tidak kira siapa, latarbelakang, bangsa, keturunan, mahupun agama, mereka berhak (mendapat pendidikan), bukan setakat berhak, malah kita beri pendidikan percuma," katanya.

Beliau berkata EFA bukan satu masalah bagi Malaysia walaupun terdapat kes yang termasuk dalam kategori penduduk yang "tidak tentu kedudukan" seperti di Sabah dan Sarawak yang mungkin merupakan anak-anak pelarian.

Berdasarkan tinjauan, katanya jumlah yang terlibat itu adalah kecil dan mereka pun masih diberi peluang belajar sekurang-kurangnya di sekolah rendah serta mengenali perkara-perkara asas iaitu membaca, mengira dan menulis.

Muhyiddin berkata bagi kanak-kanak yang terlantar di hospital, mereka juga tidak akan diabaikan, di mana satu program akan dilaksanakan bagi menyediakan tenaga pengajar di hospital tidak lama lagi.

Beliau berkata di Australia kanak-kanak yang sakit tidak diabaikan, dan mereka boleh belajar mengikut kesesuaian.

Muhyiddin berkata inisiatif membabitkan tenaga pengajar di hospital itu akan dikendalikan oleh badan amal, di mana isterinya Puan Sri Norainee Abdul Rahman juga terlibat dalam mengerakkan program tersebut.

"Bagi fasa pertama program itu ia akan melibatkan tiga hospital," katanya.- BERNAMA

Artikel Lain